sukan

Adakan ‘playoff’ untuk lebih adil

Sekiranya belum ada lagi ketetapan yang sudah ditentukan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung kekosongan slot dalam Piala Malaysia, maka badan pengendali itu wajar menganjurkan aksi playoff bagi menggantikan Melaka United FC.

Cadangan itu diutarakan pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli yang menyifatkan aksi playoff sebagai langkah paling adil dan memberi ruang kepada pasukan yang tidak layak untuk mendapat slot beraksi dalam saingan berprestij itu.

Jelasnya, memberi slot kosong itu kepada pasukan tercorot Liga Super secara automatik bukanlah satu langkah yang tepat memandangkan mereka terlebih awal tidak layak secara merit.

Kalau MFL sudahpun ada mekanisme tersendiri yang sudah ditetapkan untuk mengisi kekosongan itu berdasarkan situasi sebelum ini, mungkin boleh teruskan langkah sama tetapi jika ini situasi baru, saya rasa aksi playoff sangat baik dianjurkan.

Kalau dapat empat pasukan pun menarik juga contohnya pasukan ke-12 Liga Super, pasukan di tangga keenam dan ketujuh Liga Perdana serta juara Liga M3 bersaing antara mereka. Ini memberi peluang sama rata dan merancakkan lagi saingan tempatan.

Tetapi kalau Liga M3 tidak setuju kerana sudah pasti ia membabitkan kos, sekurang kurangnya pertembungan antara pasukan tercorot Liga Super dengan pasukan keenam Liga Perdana pun memadai juga.

“Sebabnya kalau setakat beri slot automatik itu kepada pasukan tercorot Liga Super kerana kekosongan itu daripada pasukan Liga Super juga, mungkin nampak macam tak adil,” katanya.

Terdahulu, Melaka United disingkir daripada saingan Piala Malaysia yang belum pun membuka tirainya susulan kegagalan pasukan itu melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai.

sumber:- BH

Keputusan itu dibuat Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas pasukan Liga Super itu gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji mengikut tarikh ditetapkan.