sukan

B Sathianathan bongkar apa yang terjadi

Tembelang Sarawak United FC (SUFC) akhirnya pecah apabila bekas pengendalinya, B Sathianathan mengesahkan pasukan itu sebenarnya masih gagal menyelesaikan tunggakan gaji, sekali gus menyangkal kenyataan kelab terbabit yang kononnya sudah melunaskan semua hutang kepada pemain dan pegawai pasukan.

Menurut Sathianathan, kenyataan SUFC yang mengakui sudah menjelaskan tunggakan gaji tertunggak kepada pemain sehingga Ogos, dan pegawai pasukan sehingga Julai ini adalah tidak benar dan satu pembohongan.

Malah katanya, beliau sendiri menjadi m@ngsa tidak bertangungjawab kelab itu yang berhutang dengannya hampir puluhan ribu termasuk kekurangan gaji bagi musim lalu, tunggakan bayaran gaji dari Februari hingga Jun tahun ini serta kekurangan bayaran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Lebih menyedihkan, bekas jurulatih kebangsaan itu turut mengakui tiada sebarang polisi insurans yang dicarumkan ke atas namanya bagi mendapatkan rawatan susulan masalah kesihatan sedang dihadapinya ketika ini.

Umum mengetahui saya telahpun menamatkan kontrak atas persetujuan bersama SUFC pada 12 Jun 2022 atas faktor kesihatan. Berikutan dengan penamatan kontrak tersebut saya telahpun menuntut kepada SUFC berkenaan tunggakan pembayaran antara lainnya seperti berikut, kekurangan bayaran gaji bagi tahun 2021, tunggakan bayaran gaji Februari 2022 sehingga Jun 2022 (5 bulan) dan kekurangan bayaran LHDN.

Ketika mendapatkan rawatan kesihatan saya mendapat tahu tiada sebarang polisi insurans dicarumkan di atas nama saya sehingga menyebabkan saya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi menampung pembayaran kos rawatan di hospital. Kos ratusan ribu terpaksa ditanggung saya sendirian.

“Pada masa sama, SUFC tidak memberikan sebarang maklum balas atas tuntutan saya sehingga saya terpaksa melantik peguam untuk meneruskan tindakan perundangan terhadap SUFC sebagai langkah akhir untuk menegakkan hak saya sepertimana yang termaktub di dalam kontrak,” katanya kepada Arena Metro.

Selain itu, Sathianathan menggesa agar Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyiasat secara terperinci dokumen dan bukti pembayaran yang kononnya sudah diselesaikan SUFC, malah beliau sendiri mengesahkan tidak pernah menandatangani apa-apa surat persetujuan bersama mengenai penyelesaian tunggakan gaji.

“Saya menggesa pihak MFL untuk membuat satu siasatan lanjut terperinci kepada SUFC kerana gagal untuk memberikan fakta sebenar berkaitan dengan keberhutangan SUFC kepada MFL kerana saya tidak pernah menandatangani mana-mana surat persetujuan untuk menerima pembayaran secara ansuran dan sehingga kini tuntutan saya masih belum dijelaskan secara penuh oleh SUFC,” katanya.

Sebelum ini, MFL mengesahkan SUFC terselamat daripada tersingkir daripada saingan Piala Malaysia musim ini kerana berjaya menyelesaikan tunggakan gaji serta mendapatkan persetujuan pembayaran ansuran dengan pemain dan pegawai.

sumber:- HM

Hanya Melaka United dihalang oleh MFL beraksi di Piala Malaysia, justeru dengan pendedahan ini badan pengelola liga tempatan itu harus menyemak semula kelayakan dan status SUFC dalam saingan itu yang akan bermula pada Oktober ini.