sukan

KL City dimalukan oleh pasukan tercorot liga

Penang FC mengubat rindu kutipan tiga mata selepas melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur City (KL City) pada aksi perlawanan ke-19 saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.

Kapten pasukan tuan rumah, Lucas Silva memecah kebuntuan Penang FC apabila mel3dak gol tunggal pasukan tuan rumah pada minit ke-76 sekali gus menyaksikan skuad Harimau Kumbang mencatat kemenangan kedua musim ini.

Penggempur import Brazil itu terlebih dahulu menerima hantaran lintang daripada Rafiuddin Roddin sebelum pantas meluru dan menanduk bola meskipun cuba dicabar Giancarlo Gallifuoco dan Kevin Mendoza.

Dia bagaimanapun dilayangkan kad kuning pada minit ke-89 kerana dilihat cuba melewatkan permainan.

Sebelum itu, Penang FC mendapat peluang mencetak gol seawal minit kelapan apabila tandukan pemain pertahanan KL City, Muhammad terkena muka rakan sepasukannya, Akram Mahinan sebelum singgah betul-betul di kaki Silva.

Namun Silva gagal menyempurnakan peluang terhidang apabila rembatannya tersasar daripada gawang gol lawan.

Pada awalnya, kegoyahan bahagian pertahanan sukar disembunyikan Penang FC meskipun melakukan asakan demi asakan antaranya dilakukan Endrick gagal membolosi gol pasuakn pelawat pada minit ke-26.

Pada minit ke-43 percubaan pertahanan tengah The City Boys, Muhamad Irfan Zakaria sekadar menggegar palang tuan rumah.

Lima minit terakhir separuh masa pertama Rafael Vitor meluru ke tengah dan membuat hantaran kepada Silva namun percubaan itu turut tidak membuahkan hasil.

Bersambung babak kedua perlawanan pasukan pelawat banyak mencipta peluang mencetak gol terutamanya menerusi penyerang sensasi KL City Jordan Mintah.

Mintah bagaimanapun digantikan dengan Muhammad Anwar Ibrahim pada minit ke-76 namun berlaku sedikit kekecohan apabila pemain itu masuk lebih awal sebelum Mintah keluar padang.

Perlawanan berakhir dengan keputusan kekal 1-0 dengan kemenangan Penang FC di laman sendiri menceriakan 541 penonton yang hadir ke Stadium Bandaraya biarpun perlawanan pada mulanya hambar tanpa kehadiran Ultra Panthers pada malam ini.