sukan

Malaysia mampu beri kejutan ke atas Tajikistan

Di atas kertas Tajikistan pastinya menjadi pilihan untuk menundukkan skuad Harimau Malaya dalam aksi final Piala Raja Thai di Stadium 700th Anniversary, di Chiang Mai, Thailand malam esok.

Hakikat itu berdasarkan kepada kedudukan ranking yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) apabila menunjukkan Tajikistan kini menghuni tangga ke-109 dunia berbanding Malaysia di posisi 148 ketika ini.

Perbezaan 39 anak tangga itu jelas membuktikan betapa skuad The Crowns yang kini dibimbing Petar Segrt dari Crotia itu memiliki kelebihan untuk menundukkan skuad kendalian Kim Pan-gon dalam aksi final itu nanti.

Begitupun, berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan, skuad Harimau Malaya pernah mencipta kejutan ke atas lawan itu apabila menewaskan Tajikistan dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan 1-0 pada 2019 lalu.

Lantas tidak mustahil ia mampu diulangi malam esok, apatah lagi ke momentum dan motivasi pemain berada pada tahap terbaik selepas layak ke Piala Asia secara merit tahun depan selain kejayaan mengenepikan Thailand dalam aksi pertama Piala Raja Thai, Khamis lalu.

Malah, corak permainan yang berbeza diperagakan anak buah Pan-gon ketika ini, diyakini mampu membuat kejutan dengan menewaskan Tajikistan nanti.

Pan-gon sendiri mengakui mentaliti pemainnya cukup kuat dan tidak pernah gentar untuk berdepan mana-mana lawan apabila turun beraksi di padang.

Seperti yang dibuktikan ketika menewaskan Thailand, perkara sama diharapkan mampu diulangi oleh anak buahnya nanti.

Kami bermain di gelanggang lawan dan secara fizikal mahupun mental, kami lebih tertekan, namun pemain sudah melakukan sehabis baik bagi mengatasi situasi itu. Pada akhirnya pemain berjaya menghadirkan keputusan terbaik buat pasukan.

“Kami dapat jangka perkara ini (gol penyamaan) boleh berlaku kerana saya pernah hadapi situasi ini banyak kali, namun setiap masa pemain sentiasa pamer keyakinan, beri komitmen dan mereka cukup kuat untuk atasi situasi ini.

sumber:- HM

“Terima kasih kepada semua pemain atas persembahan baik, mereka sudah menghadirkan rasa bangga kepada rakyat Malaysia,” katanya.