sukan

MFL sahkan berlaku dua kes yang berbeza

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menjelaskan berlaku dua kes yang berbeza di antara pemain serta pegawai pasukan dan bekas jurulatih Sarawak United FC (SUFC), B Sathianathan.

Ia selepas jurulatih berusia 64 tahun itu mendakwa dia masih belum menerima tunggakan gaji selain meminta MFL untuk menyiasat secara terperinci dokumen dan bukti pembayaran yang kononnya sudah diselesaikan SUFC.

MFL dalam kenyataan hari ini, berkata secara kronologi asas pihaknya menerima pengesahan pembayaran penuh gaji pemain hingga Ogos lalu bukan sahaja daripada pihak SUFC, malah turut mendapat pengesahan bayaran daripada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

“Manakala bayaran tunggakan pegawai SUFC yang diterima sehingga Julai. Surat persetujuan bersama SUFC dan pegawai berkaitan penerimaan gaji Ogos sebelum 30 Oktober 2022 disahkan melalui dokumentasi yang diterima dan juga pengesahan wakil pegawai SUFC yang berhubung dengan MFL,” jelas MFL.

Semalam, Sathianathan dilaporkan berkata dia menuntut kepada SUFC berkenaan tunggakan pembayaran antara lainnya termasuk kekurangan bayaran gaji bagi tahun 2021, tunggakan bayaran gaji Februari 2022 sehingga Jun 2022 dan kekurangan bayaran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas menamatkan kontrak atas persetujuan bersama dengan pasukan itu pada 12 Jun lalu kerana faktor kesihatan.

Bekas jurulatih kebangsaan itu turut mendakwa tiada sebarang polisi insurans yang dicarumkan ke atas namanya bagi mendapatkan rawatan susulan masalah kesihatan sedang dihadapinya ketika ini.

Mengenai kes Sathianathan, MFL menjelaskan beberapa tuntutan selepas peletakan jawatannya sebagai pengendali Sarawak United masih dalam perbincangan dengan majikannya, SUFC.

“Perkara ini mengambil satu langkah lagi dengan ia sekarang di peringkat pertikaian undang-undang yang memerlukan keputusan muktamad dibuat mengenai perkara terpencil ini.

“Ia mesti diselesaikan antara kedua-dua pihak dan jikalau masih tidak berjaya, ianya perlu dibawa ke Jawatankuasa Status FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) untuk keputusan dibuat.

sumber:-BH

“Memandangkan MFL tiada bidang kuasa untuk memutuskan perkara pertikaian terbabit dan bukan platform yang sesuai untuk menyelesaikan pertikaian ini, hanya selepas Jawatankuasa Status FAM membuat keputusan barulah MFL boleh mengambil tindakan yang perlu untuk membantu Sathianathan,” katanya.