sukan

Terengganu mucul sebagai Juara

Pasukan bola sepak Terengganu merampas ‘ibu segala pingat’ dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022 apabila mengetepikan Pulau Pinang 2-0 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, sebentar tadi.

Kejayaan itu mengakhiri kemarau 12 tahun selepas turut memenangi pingat emas acara bola sepak itu sebanyak tiga kali sebelum ini iaitu pada temasya 2006, 2008 dan 2010 lalu.

Sebaliknya, skuad Pulau Pinang terus kempunan untuk membawa pulang ‘ibu segala pingat’ itu selepas turut dikecewakan dalam dua edisi final pada 2000 dan 2002.

Skuad Penyu yang dibimbing Badrul Afzan Razali nyata lebih menyengat dengan menguasai penuh aksi kemuncak itu.

Terengganu yang diperkuatkan beberapa tonggak Terengganu FC dan Terengganu II dalam saingan Liga Malaysia mendahului hasil tandukan ketua pasukan, Safuwan Mazlan di babak pertama.

Gol itu berpunca daripada sepakan percuma yang tepat menemui Safuwan untuk mencetak namanya selaku penjaring di minit ke-24.

Pulau Pinang yang dikendalikan bekas penyerang terbilang negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli hampir menyamakan kedudukan di minit 27 namun rembatan padu Zulhisyam Zamri berjaya ditepis penjaga gol lawan.

Aksi terus rancak diperagakan di babak kedua, dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk memburu gol.

Begitupun, Terengganu lebih unggul apabila melebarkan kelebihan hasil jaringan sendiri pertahanan Pulau Pinang, Muhd Aidil Azuan di minit 87.

sumber:- HM

Kejayaan Terengganu itu juga sebenarnya menamatkan dominasi pasukan bola sepak Perak yang memenangi pingat emas dalam tiga edisi lalu secara berturut-turut.