sukan

Faktor Cheng Heo memilih Selangor FC

Reputasi dan sejarah yang dimiliki Selangor FC menyebabkan bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe ‘jatuh hati’ untuk menerima jawatan sebagai jurulatih baharu skuad Gergasi Merah itu.

Cheng Hoe berkata, Selangor FC ketika ini berada pada landasan terbaik untuk kembalikan zaman kegemilangan pasukan termasuklah menjadi antara pencabar utama Liga Super.

Beliau berkata, penyokong skuad Gergasi Merah diharapkan memberikan beliau peluang dan ruang untuk melakukan sesuatu dalam usaha mengubah pasukan kepada lebih baik seterusnya meraih keputusan positif.

Katanya, setiap jurulatih mempunyai cara dan teknik tersendiri dalam membawa pasukan termasuklah dirinya yang mengharapkan kerjasama semua pihak termasuk barisan kejurulatihan dapat merealiasikan matlamat membawa Selangor FC meraih lebih banyak kejayaan.

Selangor mempunyai reputasi dan sejarah tersendiri. Oleh itu, saya mengharapkan pada peringkat awal jangan terlalu meletakkan harapan tinggi namun yakin boleh bawa pasukan ke tahap terbaik.

Sudah tentu memerlukan kerjasama semua pihak iaitu membabitkan pemain dan pengurusan termasuklah barisan kejurulatihan untuk membawa Selangor ke landasan terbaik.

Dalam tempoh terdekat ini, saya nak pemain faham cara dan corak permainan diterapkan kepada mereka dan perbaiki setiap kelemahan yang ada, katanya.

Terdahulu, Selangor menamatkan teka teki apabila mengumumkan bekas pengendali Harimau itu sebagai jurulatih baharu pasukan terbabit.

Pengumuman itu dibuat di laman Facebook Selangor, sekali gus menjawab teka-teki yang mengaitkan bekas jurulatih negara bakal dilantik bagi menggantikan Michael Feichtenbeiner yang diturunkan pangkat bulan lalu ekoran prestasi merudum pasukan.

sumber:- HM

Berdasarkan pencapaian dan pengalamannya, Selangor percaya bahawa Cheng Hoe adalah calon terbaik untuk membawa pasukan ini ke peringkat lebih tinggi pada musim hadapan.