sukan

Juara Dunia ‘guru’ Zii Jia

Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia akan ‘menuntut’ dengan juara dunia, Viktor Axelsen sebagai persiapannya bagi menghadapi Terbuka Denmark di Odense yang dijadual bermula 18 hingga 23 Oktober ini.

Juara Asia itu berkata, dia akan berlepas ke Denmark seminggu awal bagi menjalani latihan bersama Axelsen selain rakan senegara pemain nombor satu dunia berkenaan, Anders Antonsen.

Saya akan ke Denmark pada 9 Oktober untuk berlatih di sana. Saya sudah pun menghubungi Axelsen dan Antonsen untuk berlatih bersama mereka.

“Axelsen adalah pemain terbaik masa ini dan mengekalkan prestasinya dengan baik. Dia memang seorang pemain yang saya kagumi sejak dahulu,” katanya.

Zii Jia yang ketika ini berada di kedudukan ranking nombor empat dunia, berkata dia tidak meletakkan sebarang sasaran khusus pada Terbuka Denmark kali ini kerana baginya apa yang paling penting adalah mempamerkan prestasi terbaik.

“Tidak kisah menang atau kalah, paling penting adalah mempamerkan prestasi terbaik di kejohanan itu nanti,” katanya yang menerima tamparan apabila tersingkir di pusingan ketiga Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun, bulan lalu.

Selepas Terbuka Denmark, Zii Jia yang dibimbing jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya akan beraksi di Terbuka Perancis bermula 25 hingga 30 Oktober dan kemungkinan besar turut menyertai Terbuka Hylo di Jerman (1 hingga 6 November) dan Terbuka Australia (15 hingga 20 November).

“Saya mungkin pergi Terbuka Hylo dan Australia kerana mahu kejar (kutip mata) bagi saingan Jelajah Dunia Akhir BWF selepas ada kejohanan yang tidak saya sertai sebelum ini,” katanya.

sumber:- BH

Ketika ini dia berada di kedudukan ranking nombor tujuh Jelajah Dunia BWF dengan hanya lapan terbaik layak beraksi di pusingan akhir yang dijadual berlangsung di Guangzhou, China pada 14 hingga 18 Disember depan.