sukan

Komen bersemangat Brendan Gan menjelang Final

“Kami mahu bawa pulang trofi (Piala Raja Thai) ke Malaysia”.

Itu keyakinan yang diluahkan tonggak tengah skuad Harimau Malaya, Brendan Gan yang percaya rakan sepasukannya sudah sedia mengecewakan Tajikistan dalam aksi final Piala Raja Thai, di Stadium 700th Anniversary, di Chiang Mai, Thailand malam esok.

Jelas pemain kacukan Malaysia-Australia itu, melalui input dan informasi yang disediakan barisan kejurulatihan, tidak ada apa yang mustahil dengan dia mahu pasukan memberikan sepenuh tumpuan dan fokus di final itu nanti.

Malah katanya, penghormatan menyarung jersi Hitam Kuning dan membawa lencana di dada bakal membakar jiwa pemain untuk memburu kemenangan malam esok.

Kami tahu harapan peminat cukup tinggi yang mahukan piala, dan kami juga sebagai pemain turut mahukan menang dalam semua kejohanan disertai tidak kira ia aksi persahabatan, pertunjukkan atau aksi kelas A…kami mahukan kemenangan semuanya.

“Jika kita berikan segalanya, sudah tentu keputusan positif akan hadir dan kami sedia untuk aksi malam esok, dan mahu kembali ke Malaysia dengan membawa pulang piala,” katanya pada sidang media menjelang aksi final itu.

Skuad negara mara selepas berjaya menundukkan Thailand menerusi penentuan sepakan penalti dengan 5-3 selepas terikat 1-1 dalam masa sebenar.

Manakala Tajikistan pula yang menghuni tangga ke-109 dunia mengenepikan cabaran Trinidad & Tobago dengan 2-1 dalam satu lagi aksi yang turut berlangsung Khamis lalu.

Ujarnya, walaupun Tajikistan mungkin turun selaku pilihan berdasarkan kepada kedudukan ranking lebih tinggi, namun ia bukan penghalang buat skuad kebangsaan yang di ranking ke-148 untuk mencipta kejutan.

Saya sudah lalui pelbagai ujian dalam hidup di mana tiada perkara negatif difikirkan sebaliknya saya ambil semua perkara secara positif.

sumber:- HM

“Kami juga fikir secara positif dan yakin dengan kemampuan kami, paling penting kami harus berikan sepenuh tumpuan dalam aksi nanti,” katanya.