sukan

Ranking bukan segala-galanya

Berada 39 anak tangga di depan Malaysia dalam ranking dunia membuktikan bahawa Tajikistan lawan yang sukar buat Harimau Malaya.

Tajikistan yang menduduki ranking 109 dunia dan Malaysia pula di tangga 148 akan membuat perhitungan dalam aksi final Piala Raja Thai di Stadium Chiang Mai, malam ini.

Atas kertas, skuad The Crowns itu memiliki kelebihan berbanding Harimau Malaya yang kini masih berusaha mendaki ke prestasi lebih baik di bawah pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan Gon.

Tajikistan dibarisi tenaga muda yang mana majoriti barisan pemainnya berusia bawah 25 tahun dan ramai di antara mereka beraksi di liga luar negara termasuk Eropah.

Peny3rang muda Tajikistan, Shahrom Samiev beraksi di Liga Perdana Belarus bersama kelab Isloch Minsk Raion dengan dia mungkin menjadi ancaman utama buat Harimau Malaya.

Baru berusia 21 tahun dan beraksi di Eropah, ia memberi gambaran bahawa dia memiliki keupayaan tinggi dari segi tenaga, kepantasan dan kemahiran yang diperlukan di bahagian serangan.

Tajikistan juga memiliki tenaga muda di bahagian tengah mereka terutama Ehson Panjshanbe yang beraksi bersama kelab Iran, Zob Ahan.

Pemain berusia 23 tahun itu mel3dak gol kedua Tajikistan ketika menewaskan Trinidad & Tobago 2-1, Khamis lalu dengan dia sudah membuat 34 penampilan bersama The Crowns walaupun usianya masih muda.

Bagaimanapun, segala kekuatan dan kelemahan yang dimiliki Tajikistan sudah pasti berada dalam perhatian Pan Gon dalam membentuk percaturan terbaik buat Harimau Malaya menghadapi lawannya itu.

Tiada yang mustahil buat Harimau Malaya dengan mereka pernah membuktikan kedudukan ranking bukan segala-galanya selepas menewaskan pasukan di ranking 135, Turkmenistan ketika kelayakan Piala Asia 2023 sebelum ini.

Namun, berdasarkan tenaga pemain muda yang dimiliki Tajikistan, skuad Harimau Malaya dijangka bakal berdepan corak permainan pantas dan berintensiti tinggi sepanjang perlawanan.

Justeru, anak buah Pan Gon perlu berada pada tahap kecergasan terbaik dan tidak boleh ‘pancit’ awal atau hilang fokus pada hujung perlawanan seperti yang berlaku ketika berdepan Thailand.

Seandainya menang, Malaysia akan mencipta sejarah memenangi Piala Raja Thai selepas kali terakhir merangkulnya pada 44 tahun lalu apabila menewaskan pasukan jiran, Singapura 3-2 di pentas akhir.

Bukan itu sahaja, kemenangan ke atas Tajikistan yang berada di ranking lebih tinggi juga akan menyumbang banyak mata buat Harimau Malaya untuk memperbaiki kedudukan dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).