Nasib pengendali skuad bawah 19 tahun (B-19) negara, Hassan Sazali Waras masih menjadi tanda tanya sama ada khidmatnya melatih pasukan ‘harimau muda’ diteruskan atau sebaliknya.
Ini kerana, terdapat desas desus mengatakan kontrak Hassan mungkin tidak akan disambung selepas kegagalannya membawa skuad B-19 negara layak secara merit ke kejohanan Piala Asia B-20 yang berlangsung di Kazakhstan, tahun hadapan.
Hassan berkata, dia sedia menerima apa saja keputusan akan dibuat badan induk bola sepak Malaysia sambil mengakui sudah bersedia sekiranya khidmatnya tidak lagi diperlukan.
“Saya serahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pengurusan untuk memutuskan nasib saya kerana kontrak masih berbaki hingga hujung tahun ini.
“Kalau diberi peluang saya tidak ada masalah untuk bersama skuad ini kerana mereka ada potensi untuk pergi lebih jauh.
“Kalau lihat keputusan sebelum ini, mereka berjaya menewaskan Vietnam yang ketika ini adalah gergasi di AFF dan menjuarai kejohanan itu. Malah pada perlawanan jemputan di Vietnam mereka berjaya menamatkan saingan dengan gelaran naib juara,” katanya.
Walaupun gagal membimbing skuad negara ke Piala Asia B-20, Hassan berjaya merangkul kejuaraan Piala AFF B-19 yang berlangsung pada Julai lalu, selain bergelar naib juara kejohanan jemputan Piala Thanh Nien.
Selain itu, Hassan berkata, dia mengharapkan pemain muda itu dijaga dengan baik sekiranya kontrak beliau tidak disambung oleh FAM.
“Saya berbangga dapat mengendalikan pasukan ini kerana mereka yang berada di dalam pasukan ini adalah pemain akan membarisi skuad senior satu hari nanti.
“Jadi saya harap, sekiranya kontrak bersama FAM tidak disambung, mereka boleh menjaga dan melatih bakat muda ini dengan lebih baik kerana mereka adalah aset terbesar masa depan bola sepak negara,” katanya.
sumber:-HM
Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman ketika dihubungi berkata, pihaknya akan bermesyuarat nanti dan membincangkan mengenai kontrak Hassan itu.