Kejayaan skuad Harimau Malaya sebagai naib juara Piala Raja Thai 2022 memberikan ‘hadiah’ berharga apabila memperoleh penambahan 4.73 mata dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).
Penambahan mata itu kemungkinan menyaksikan kedudukan pasukan Harimau Malaya akan naik dua anak tangga.
Pada aksi final Piala Raja Thai ke-48 yang berlangsung di Stadium Chiang Mai, malam tadi, Harimau Malaya tewas 0-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan, sekali gus memperoleh tambahan 1.16 mata ranking Fifa.
Pada perlawanan pertama menentang Thailand, Malaysia menang menerusi penentuan sepakan penalti, sekali gus memperoleh tambahan mata sebanyak 3.57.
Selepas dua perlawanan ini, Malaysia yang pada asalnya memiliki 1057.59 mata selepas kemas kini terakhir pada Ogos lalu, bakal berada di kedudukan ke-146 dengan 1062.32 mata keseluruhan selepas kemas kini seterusnya pada Oktober ini.
Namun, peningkatan dua anak tangga ini akan dipengaruhi perlawanan persahabatan lain yang kini sedang berlangsung di seluruh dunia sehingga Oktober ini.
Jendela kalendar tetingkap Fifa seterusnya akan dibuka pada Mac 2023, namun Malaysia berpeluang memperbaiki ranking di kejohanan Piala AFF 2022 yang dijadualkan berlangsung pada 20 Disember 2022 hingga 16 Januari 2023.
Namun, lebih mencuri tumpuan adalah hasil tangan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon sejak mengambil alih pasukan pada Januari lalu menyaksikan Malaysia naik sembilan anak tangga daripada kedudukan 154 dan terkini adalah 146 dunia.
sumber:- HM
Setakat ini, Pan-gon sudah mengharungi sembilan perlawanan dengan lima kemenangan, dua seri dan dua kali tewas kepada Bahrain dan Singapura.