sukan

Kini tempat ketiga dunia

MISI pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk menduduki kelompok dua terbaik Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menjelang hujung tahun ini semakin menyala.

Pemain berusia 24 tahun dari Kedah itu kini naik satu anak tangga apabila menduduki ranking ketiga dunia selepas mengumpul 91,578 mata dalam kemas kini terbaru BWF pada Selasa.

Zii Jia merampas kedudukan bintang Denmark, Anders Antonsen yang kini menduduki ranking kedua dunia setelah mengumpul 92,700 mata.

Antonsen merampas kedudukan Kento Momota sekali gus menyaksikan pemain Jepun itu turun ke ranking kelima dunia dengan 86,704 mata.

Pemain Taiwan, Chou Tien Chen pula naik di kedudukan keempat dengan 89,576 mata manakala juara dunia, Viktor Axelsen dari Denmark dengan 122,606 mata terus mengekalkan status pemain nombor satu dunia.

Pemburuan kelompok dua terbaik dunia Zii Jia bakal disingkap dengan misi keputusan positif di Terbuka Denmark (18 hingga 23 Oktober) dan Terbuka Perancis (25 hingga 30 Oktober).

Zii Jia juga bakal beraksi Terbuka Hylo di Jerman (1 hingga 6 November) dan Terbuka Australia (15 hingga 20 November).

Sementara itu, pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022, Ng Tze Yong yang meletakkan sasaran berada di kelompok 30 terbaik dunia menjelang hujung tahun menduduki kedudukan ke-35 dunia dengan 42,384 mata.

Sementara itu, beregu lelaki nombor satu negara yang juga juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula kekal di kedudukan nombor lima dunia dengan 90,328 mata.

sumber:- SH

Gandingan, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (72,490 mata) dan Nur Izuddin Rumsani-Goh Sze Fei (69,735 mata) juga berada dalam kelompok 10 terbaik dunia apabila masing-masing mengekalkan kedudukan nombor sembilan dan ke-10.