sukan

Bekas pasukan gergasi kembali ke Liga M

Bekas gergasi Liga Malaysia, Perak FC dan pasukan universiti tempatan, UiTM FC kembali menghangatkan saingan Liga Super musim depan selepas aksi playoff tidak dilangsungkan.

Sebelum ini, difahamkan dua pasukan bawahan Liga Perdana dan dua pasukan terbaik Liga M3 akan bersaing di pusingan playoff bagi merebut dua tiket ke Liga Super musim depan.

Keputusan itu diumumkan badan bebas First Instance Body (FIB) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas kelab Liga M3 tidak melepasi kriteria bagi mendapatkan lesen beraksi di Liga Super.

Jelas Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir, pihaknya menyemak laporan berkaitan permohonan pelesenan kelab liga amatur M3 yang berakhir pada 17 September di mana hanya tujuh kelab membuat permohonan.

Katanya, kelab itu ialah PIB FC, Harini FT, BRM FC, Imigresen FC, Armed Forces FC, Kinabalu Jaguar FC dan Manjung City FC.

Bagaimanapun, daripada tujuh kelab itu, hanya dua kelab iaitu PIB FC dan Harini FT yang menunjukkan perkembangan baik.

Ujarnya, begitupun dua kelab terbabit masih tidak melengkapkan kesemua kriteria kelab profesional bagi mendapatkan lesen pada tarikh akhir permohonan.

“Berdasarkan peraturan semasa, hanya dua kelab teratas AFL boleh bersaing dalam perlawanan play off. PIB FC menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam pertandingan dengan menamatkan saingan sebagai juara, namun penyerahan dokumentasi mereka tidak lengkap,” katanya.

Ini bermakna enam pasukan dari Liga Perdana secara automatik akan naik pangkat ke Liga Super selaras dengan rombakan saingan Liga Malaysia pada musim depan.

Rombakan itu akan menyaksikan saingan Liga Perdana ditangguhkan dan pasukan yang bersaing dalam Liga Super ditambah daripada 12 kepada 18 pasukan.

Dalam pada itu, Sheikh menghargai usaha dan komitmen PIB FC dan Harini FT serta kelab lain dalam proses untuk melengkapkan permohonan berkenaan.

“Ini adalah proses yang baru untuk kelab AFL dan kami percaya ia dapat memberikan mereka gambaran tentang kriteria yang diperlukan untuk setiap pasukan mencapai kemajuan ke Liga Super musim 2024.

sumber:-HM

“Justeru saya percaya, MFL (Liga Bolasepak Malaysia) pasti akan terus membantu kelab-kelab AFL tahun depan untuk melengkapkan proses bagi mendapatkan lesen seterusnya berkembang menjadi kelab profesional tempatan,” katanya.