sukan

Gergasi lawan semut

Saingan Liga Super musim depan menjanjikan persaingan hebat apabila buat pertama kalinya liga domestik bakal disajikan dengan kehadiran 18 pasukan.

Begitupun, berdasarkan penambahan enam lagi pasukan dari Liga Perdana bersama 12 pasukan Liga Super musim ini menimbulkan sedikit kebimbangan mengenai tahap kualiti kelab-kelab kecil untuk berdepan pasukan gergasi seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Kedah Darul Aman FC, Terengganu FC dan beberapa lagi pasukan yang asalnya berasaskan kenegerian.

Lantas, ia mungkin memberi sedikit kesan buat kelab ‘kerdil’ yang mempunyai sumber atau dana kecil berbanding pasukan besar terutama yang dibayangi sentuhan kerabat diraja seperti JDT, Selangor, Sri Pahang dan Negeri Sembilan FC.

Bagaimanapun bagi pemerhati bola sepak tempatan, Profesor Madya Dr Zulakbal Abd Karim, jurang itu boleh dikecilkan dengan syarat setiap kelab perlu bergerak secara profesional, sambil bijak menyusun strategi pemasaran untuk menarik penaja serta menjalinkan hubungan erat dengan penyokong setempat.

Kita boleh lihat dalam 18 pasukan itu ada pasukan yang terlalu kaya dan yang biasa-biasa saja. Mungkin kita boleh lihat seolah ada dua darjat dalam Liga Super musim depan.

Kita tidak mahu kelab-kelab kecil ini masuk sekadar melengkapkan jadual. Tetapi saya percaya, jika pengurusan kelab bersungguh-sungguh dalam menguruskan pasukan, tidak mustahil mereka boleh beri tentangan sengit kepada pasukan besar.

“Salah satu kelab yang tunjukkan contoh terbaik ialah KL City (Kuala Lumpur City), dengan bajet kecil sejak musim lalu tetapi boleh menang Piala Malaysia dan masuk final Piala AFC antara zon,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan Perak FC dan UiTM FC muncul pasukan ke-17 dan 18 melengkapkan senarai kelab yang akan beraksi di Liga Super musim depan.

Ia susulan keputusan badan bebas First Instance Body (FIB) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas kelab Liga M3 tidak melepasi kriteria bagi mendapatkan lesen beraksi di Liga Super sekaligus, aksi playoff terpaksa dibatalkan.

Sebelum ini, difahamkan dua pasukan bawahan Liga Perdana iaitu Perak FC dan UiTM FC dan dua pasukan terbaik Liga M3 akan bersaing di pusingan playoff bagi merebut dua tiket ke saingan divisyen satu itu.

Jelas Zulakbal yang juga Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu lagi, beliau memilih JDT, Selangor dan Perak untuk menguasai tiga teratas Liga Super musim depan.

JDT kita tahu kualiti dan kesungguhan pemiliknya (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang mahu menang piala setiap tahun. Selangor pula ada senjata baharu iaitu Tan Cheng Hoe yang boleh bawa sesuatu kepada mereka, begitu juga Perak di bawah pengurusan ahli korperat yang berjaya serta sentuhan Lim Teong Kim.

sumber:- HM

“Bagi jangkaan tiga bawahan liga, mungkin milik kelab-kelab baharu seperti Kuching City, UiTM FC dan Kelantan United tetapi macam saya katakan tadi, mungkin mereka boleh buat kejutan jika pengurusan menyusun strategi terbaik daripada sekarang,” katanya.