sukan

President Sarawak United beri penjelasan

Pengurusan Sarawak United tidak pernah lepas tangan atau ‘buat tidak tahu’ isu membabitkan hutang mereka kepada bekas pengendali pasukan B Sathianathan.

Presiden Sarawak United Datuk Posa Majais menjelaskan pembayaran kepada bekas jurulatih terbabit terganggu disebabkan Sathia tidak mahu mengadakan perjumpaan ’empat mata’ bagi menyelesaikan isu terbabit.

Beliau berkata, Sarawak United komited menyelesaikan hutang dan tunggakan gaji bagi memastikan tidak lagi terpalit dengan isu berkenaan yang boleh menjejaskan kedudukan pasukan pada masa akan datang.

“Kami mengetahui berkaitan perkara disuarakan Sathianathan cuma ada terma yang tak boleh didedahkan menyebabkan pembayaran kepadanya berhadapan masalah.

“Sehingga kini, pihak pengurusan pasukan belum lagi berkesempatan untuk mengadakan perjumpaan bersama Sathianathan kerana beliau enggan menemui kami.

“Oleh itu, tiada kata sepakat dapat dicapai berkaitan pembayaran terutama selepas beliau meninggalkan kelab berikutan berhadapan masalah kesihatan,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Sathia menafikan kelab itu sudah menyelesaikan semua bayaran sepertimana dinyatakan di dalam hebahan media Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada 21 September lalu.

Hebahan pentadbir Liga Malaysia itu menjelaskan Sarawak United telahpun menjelaskan semua bayaran gaji tertunggak kepada pemain sehingga Ogos 2022 dan pegawai pasukan sehingga Julai 2022.

sumber:-HM

Jelas Sathia, tuntutan pembayaran dilakukan terhadap Sarawak United itu membabitkan kekurangan bayaran gaji bagi 2021, tunggakan bayaran gaji Februari 2022 sehingga Jun 2022 (lima bulan) dan kekurangan bayaran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).