sukan

Empat pasukan tagih khidmat Aidil Sharin

Empat pasukan dari Liga Super kini dikatakan sedang mengintai ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak bagi menghadapi cabaran musim 2023 yang dijangka lebih sengit.

Kemampuan pengendali dari Singapura itu yang membawa Kedah sebagai juara Piala FA musim 2019, finalis Piala Malaysia 2019 dan muncul juara kumpulan G pada saingan Piala AFC zon Asean lalu, sudah cukup meletakkan nama beliau sebagai antara jurulatih yang berkaliber dan disegani di rantau Asean ini.

Menurut sumber dari beberapa ejen pemain dan jurulatih, terdapat tiga hingga empat pasukan yang sedang bertanyakan mengenai Aidil untuk musim depan selepas KDA FC mencapai kedudukan terbaik dalam saingan Piala AFC peringkat zon Asean.

Namun menurut Aidil sendiri, meskipun reputasinya kian memuncak, beliau tetap fokus memastikan KDA FC terus memberi saingan terbaik dalam aksi Liga Malaysia yang masih hangat berlangsung.

“Ramai juga yang bertanyakan perkara itu, namun, bagi saya secara jujurnya saya masih perlu memberi tumpuan utama untuk memastikan Kedah mencapai kedudukan yang baik pada musim ini dan kita boleh lihat setiap pasukan dalam Liga Malaysia masih bekerja keras untuk merebut kejayaan pada musim ini.

“Fokus saya adalah untuk Kedah dan mengenai perancangan musim depan pula, ia bergantung pada perancangan yang akan ditetapkan oleh pihak pengurusan KDA FC sendiri,” katanya.

Ditanya mengenai kontraknya samada akan disambung oleh KDA FC pada musim depan, Aidil bagaimanapun mengambil sikap profesional untuk tidak membuat sebarang kenyataan sebelum perkara itu dimuktamadkan oleh pihak pengurusan Sang Kenari.

“Saya mahu lebih profesional dalam hal ini dan biarlah pihak pengurusan sendiri yang membuat sebarang pengumuman mengenai kontrak saya selanjutkan pada musim depan.

sumber:-HM

“Sebagai jurulatih, saya mahu pastikan fokus, keazaman dan kesungguhan yang dipamerkan oleh semua yang terlibat dalam pasukan KDA FC dapat dikekalkan sepenuhnya hingga musim ini berakhir,” katanya.