sukan

Komen Kim Swee perlawanan menentang TFC

Tidak mahu pulang dengan tangan kosong menjadi fokus utama Sabah yang akan bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bagi menghadapi aksi Liga Super berdepan Terengganu FC (TFC), Sabtu ini.

Justeru, ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee mahu barisan pemainnya berjuang hingga keringat terakhir bagi memastikan kedudukan mereka di tangga kedua liga tidak terjejas.

Beliau bagaimanapun sedar tugas berat menanti Sabah berikutan TFC sukar untuk dijinakkan di laman sendiri dengan statistik menunjukkan skuad Penyu hanya tewas sekali iaitu ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Apabila memasuki hujung saingan dengan hanya tinggal beberapa perlawanan, apa sahaja mata yang dapat dipungut adalah penting dan kami tidak mahu pulang ke Sabah dengan tangan kosong selepas perlawanan dengan Terengganu.

“Terengganu mempunyai rekod sangat baik di laman sendiri dan mereka sudah bermain bersama untuk jangka masa lama sebagai satu pasukan berbanding kami yang kebanyakan pemain baru dikumpulkan untuk musim ini.

“Selain itu, mereka mempunyai kekuatan yang seimbang di semua posisi. Jadi, pendekatan kami perlu berbeza dan apa yang penting kami kena fokus dengan corak taktikal yang kita akan gunakan.

“Tiada pemain berdepan kecederaan dengan Gary Steven Robbat juga sudah kembali pulih manakala Dominic Tan yang baharu pulang dari tugasan bersama pasukan kebangsaan mula menjalani latihan sejak Selasa,” katanya.

Kekalahan di tangan Selangor pada aksi terakhir di Stadium Likas, 10 September lalu serta keputusan seri dalam dua perlawanan bertemu KL City dan Kedah Darul Aman FC menyaksikan Sabah kini hanya empat mata di depan TFC yang menghuni tangga keempat.

sumber:-BH

Seandainya tewas di tangan TFC, situasi itu bakal meletakkan Sabah dalam tekanan menjelang penghujung saingan dengan dua slot ke Piala AFC 2023 bakal menjadi taruhan untuk pasukan yang berada di tangga kedua dan ketiga Liga Super.