sukan

Komen Syihan perlawanan menentang JDT

Menerima pujian daripada pihak pengurusan pasukan selepas mempamerkan aksi terbaik di kejohanan jemputan Piala Raja Thai 2022, menyuntik semangat buat penjaga gol Negeri Sembilan FC (NSFC), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, bagi meneruskan aksi Liga Super.

Menjelang perlawanan ke-19 Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok, Ahmad Syihan, akui sudah bersedia untuk mempertahankan kubu pasukan itu dalam misi mendapatkan keputusan positif.

Sambil mengakui cabaran menentang pasukan pendahulu liga itu kali ini dilihat berbeza berbanding dengan pertemuan pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, berikutan JDT bakal tampil selaku juara Piala FA musim ini.

“Saya akan berusaha untuk mengekalkan prestasi yang baik dan mempamerkan persembahan apa yang perlu dilakukan pada perlawanan menentang JDT, di gelanggang lawan, malam esok.

“Memang diakui cabaran kami kali ini dilihat berbeza dan kami dijangka akan berhadapan dengan tugas yang lebih getir berikutan saingan Liga Super yang sudah semakin menghampiri penghujungnya.

“Namun, melalui sokongan moral daripada ahli keluarga dan pihak pengurusan, saya berjanji untuk bekerja keras mempertahankan kubu pasukan daripada bolos,” katanya selepas menamatkan sesi latihan, pagi tadi.

Pemain kebangsaan berusia 26 tahun itu berkata, pasukannya perlu tampil dengan persembahan lebih mantap dengan berusaha menutup setiap ruang buat jentera s3rangan Harimau Selatan melakukan percubaan ke arah gol.

Menurutnya, keputusan positif perlu dicapai pada aksi itu nanti untuk membolehkan skuad Hobin Jang Hobin memiliki peluang mengisi slot ke saingan Piala AFC musim depan.

Katanya, berikutan perjuangan Negeri Sembilan dalam Liga Super musim ini hanya berbaki empat perlawanan, mereka perlu berusaha mendapatkan keputusan yang baik dalam kesemua perlawanan berkenaan.

“Saya dan rakan-rakan sedar akan cabaran ini dan kami akan berjuang habis-habisan untuk mendapatkan keputusan yang baik buat pasukan musim ini.

“Saya yakin dan percaya menerusi komitmen tinggi semua pemain dan perancangan rapi daripada jurulatih, bukan suatu yang mustahil untuk kami dapatkan keputusan yang baik dengan JDT, esok,” katanya pemain kelahiran Kelantan itu.

Ahmad Syihan dan seorang lagi pemain, Ahmad Khuzaimi Piee menerima pujian daripada ketua jurulatih pasukan itu, K Devan, selepas mereka mempamerkan persembahan terpuji dalam kejohanan Piala Raja Thai.

Malah, nama penjaga gawang itu yang kini meniti di bibir peminat bola sepak tempatan hanya dibolosi satu gol saja apabila kecekapannya berjaya menafikan percubaan pihak lawan sekali gus membantu skuad Harimau Malaya meraih gelaran naib juara kejohanan berkenaan.

sumber:-HM

Negeri Sembilan mensasarkan untuk sekurang-kurangnya mempertahankan kedudukan tempat ketiga Liga Super musim ini bagi mendapatkan tempat ke saingan Piala AFC 2023.