sukan

Komen Jurulatih aksi penutup liga

Hujan yang menyebabkan keadaan padang menjadi becak tidak dinafikan menjadi faktor Kelantan FC dan Kelantan United Football Club (KUFC) tidak dapat menyajikan persembahan lebih baik di perlawanan akhir Liga Perdana ,malam tadi.

Kedua-dua pasukan dilihat lebih berhati-hati bermain dalam keadaan air yang bertakung dalam perlawanan yang bermula lewat setengah jam akibat hujan lebat di Stadium Sultan Muhammad ke IV Kota Bharu.

Penolong Ketua Jurulatih KUFC, Sazami Safii berkata, dia sedikit kecewa pasukan tidak dapat menonjolkan permainan bermutu sebagai penutup tirai liga namun tidak dapat melawan takdir akibat cuaca.

Sebab kita dalam satu keadaan yang tak boleh nak kawal keadaan padang.

“10 minit sebelum sepak mula keadaan padang masih bertakung, kita terpaksa merancang banyak di kawasan tengah sahaja, tapi saya tetap puji pemain yang beri saingan setakat mampu,” katanya selepas sidang media tamat perlawanan semalam.

Sazami berkata, apapun dia berbangga dengan pencapaian pasukannya yang menamatkan saingan di kedudukan kelima liga musim ini.

Katanya, pasukan akan meneruskan latihan dan memberi saingan sengit bagi menghadapi liga Malaysia pula.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya berkata, keadaan padang becak tidak memberi peluang pasukannya membuat banyak gerakan.

Katanya, ditambah pula kealpaan pasukan di masa kedua menghukum pasukan dengan seri satu sama.

“Apa yang kita rancang tak boleh guna pakai malam ini (malam tadi) dengan keadaan padang tak mengizinkan, sudah pasti mengganggu perancangan, apapun saya kagum dengan semangat pemain dan harus beri pujian,” katanya.

Katanya, meskipun hasrat Kelantan FC menamatkan liga sebagai juara tidak kesampaian namun dia tetap berpuas hati dengan persembahan pasukan sepanjang musim ini.

“Saya ingin berterima kasih kepada pemain, pengurusan dan penyokong-penyokong, boleh nampak dengan sokongan mereka memberi impak baik buat pasukan,” katanya.

sumber:- HM

Terdahulu, perlawanan akhir itu terencat akibat hujan namun stadium tetap dipenuhi lebih 8,000 penyokong.