sukan

Aidil luah rasa kecewa aksi lemau KDA FC

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak meluahkan kekecewaannya selepas skuad kendaliannya tumbang 1-0 di tangan PJ City, malam tadi.

Menurutnya, kekalahan mengejutkan itu hampir pasti meranapkan misi pasukan untuk mencapai kedudukan tiga pasukan terbaik dalam kancah Liga Super musim ini.

“Saya ingin memohon maaf kepada seluruh penyokong di atas kekalahan malam ini (semalam) dan kami sudah berbincang banyak kali sebelum perlawanan bahawa PJ City satu pasukan yang sentiasa memberi tekanan dan sangat bekerja keras di atas padang.

“Kami melakukan beberapa kesilapan dan jika dilihat pada perlawanan ini bermula, kami banyak kali kehilangan bola, hantaran yang kurang tepat dan kesilapan daripada jentera pertahanan kami mengakibatkan PJ City terus menekan dengan s3rangan balas yang cepat sehingga kami dibolosi.

“Pemain sudah mencuba sedaya upaya namun pada masa sama mereka juga tidak memanfaatkan setiap peluang,” katanya dengan nada kecewa.

Aidil berharap kekalahan itu menjadi pengajaran buat pemainnya dan menuntut mereka bangkit menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Selasa ini.

“Memang agak sukar untuk menyelesaikan semua masalah dalam tempoh tiga hari ini tambahan pula akan menentang JDT kerana kita tahu mereka adalah antara pasukan terbaik di Asia, tetapi dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan kita perlu percaya pada diri sendiri dan perlu turun beraksi dengan usaha yang terbaik.

sumber:-BH

“Sudah pasti kami mahu kembali bangkit dengan semangat juang yang tinggi untuk berdepan JDT dan saya harap pemain dapat bangkit segera dalam tempoh tiga hari ini dan beri aksi 100 peratus nanti,” katanya.