sukan

Faisal Halim jadi rebutan pasukan Liga M

Pemain sayap lincah Terengganu FC (TFC), Faisal Halim mendedahkan bukan skuad Penyu dan Selangor FC sahaja yang mahukan khidmatnya musim depan, tapi tiga lagi pasukan termasuk Sri Pahang FC turut menyatakan hasrat untuk ‘melamarnya’.

Bagaimanapun, pemain kebangsaan kelahiran Pulau Pinang itu menegaskan dia belum lagi membuat keputusan muktamad mengenai destinasinya selepas ini.

Malah pemain berusia 24 tahun berketinggian 1.58 meter itu menjelaskan, setakat ini dia belum lagi menandatangani kontrak perjanjian dengan mana-mana pasukan termasuk TFC walaupun sudah menerima tawaran lanjutan kontrak daripada pihak pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd minggu lalu.

Setakat ini lima pasukan menyatakan hasrat mahukan khidmat saya musim depan termasuk TFC yang sudah menawarkan kontrak lanjutan sebaik saya pulang daripada tugasan bersama skuad kebangsaan di Thailand minggu lalu selain Selangor FC dan Sri Pahang FC.

Bagaimanapun, setakat ini saya belum lagi membuat keputusan muktamad berhubung destinasi saya kerana fokus adalah bersama pasukan TFC dengan baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

Lagipun buat masa ini saya rasa tidak sesuai untuk saya maklumkan pasukan yang diwakili selepas ini. Dakwaan yang menyatakan saya bakal ke Selangor FC itu hanyalah desas-desus dalam dunia bola sepak.

“Mungkin selepas Piala Malaysia berakhir musim ini, saya akan umumkan destinasi saya seterusnya, tapi apa yang penting saya dan keluarga suka tinggal di Terengganu,” katanya ketika ditemui selepas berakhir perlawanan menentang Sabah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam tadi yang berkesudahan pasukannya melakar kemenangan 2-0.

Mengulas lanjut, Faisal yang mula beraksi bersama TFC sejak musim lalu menjelaskan bukan faktor gaji besar yang menyebabkan dia belum memutuskan lagi destinasinya.

Saya masih meneliti tawaran daripada lima pasukan berkenaan, ianya bukan soal minta gaji besar atau sebaliknya, tapi apa yang penting saya mampu atau tidak beraksi dengan pasukan baharu itu nanti dengan sumbangan yang baik.

Selain itu kelab berkenaan menghargai atau sebaliknya pengorbanan saya, jadi saya harap semua gembira dengan keputusan yang bakal dibuat nanti.

“Namun yang pasti jika jurulatih, Nafuzi Zain kekal membimbing pasukan ini (TFC), mungkin saya kekal, tapi jika Nafuzi pergi ke Kedah atau pasukan lain, mungkin saya akan pergi sekali, jadi kita tunggu dan lihat, lagipun saya mahu fokus kepada majikan saya terlebih dahulu,” katanya.

sumber:- HM

Terdahulu Faisal dikatakan hampir pasti bakal meninggalkan bumi Darul Iman untuk bersama pasukan Selangor FC musim depan, namun berdasarkan perkembangan terkini, pemain bertubuh kecil itu dijangka bakal mewarnai skuad Kenari jika Nafuzi berhijrah bersama pasukan itu.