sukan

Komen Hektor menang besar ke atas NSFC

Ibarat perumpamaan tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu dan ia jelas memberu tuah buat pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT).

Hector Bidoglio yang baru tiga bulan bersama pasukan itu tapi sudah berjaya merangkul dua piala iaitu Piala FA dan Piala Liga Super musim ini.

Bersikap suka merendah diri pengendali kelahiran Argentina itu menegaskan kejayaan yang diraih pada musim ini adalah kerjasama berpasukan yang dibentuk gandingan ‘keluarga JDT’ membabitkan semua pihak termasuk ‘the boss’ (Tunku Mahkota Johor) yang memainkan peranan penting kejayaan skuad Harimau Selatan.

Beliau juga mengakui persiapan JDT untuk berdepan Negeri Sembilan FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi yang menyaksikan pasukan itu menang besar 5-0 dilakukan secara terperinci bagi memperbaiki kesilapan ketika mencatat keputusan seri 2-2 menentang Petaling Jaya City FC sebelum saingan berehat selama hampir dua minggu.

“Terima kasih kepada Keluarga JDT yang terbabit dalam kelab ini. Dari hari pertama saya di sini saya tahu saya datang untuk menang dan kini kami telah berjaya memenangi Piala FA dan kini Piala Liga Super dan saya mahu berterima kasih kepada semua yang bekerja keras dan menyokong saya.

“Ianya adalah perasaan yang hebat terutama buat kelab dan juga buat diri saya. Ia adalah satu pencapaian yang cemerlang tetapi saya tidak mahu terbawa dengan perasaan ini dan akan melakukan yang terbaik untuk menjadi lebih baik.

“Menentang PJ City hanya beberapa hari selepas final Piala FA adalah tugas yang sangat berat buat para pemain kerana bukan mudah bermain di final ditambah persiapan pasukan menjelang perlawanan akhir itu dan pemain kepenatan. Kini selepas berehat dua minggu, kami berjaya mengatasi kelemahan yang ada,” katanya.

Ditanya tentang persiapan menentang Kedah Darul Aman (KDA FC) pada Selasa ini, Bidoglio menjangkakan satu lagi aksi yang sukar kerana sedar kesemua pasukan mahu menewaskan JDT tatkala masih mengekalkan rekod tanpa kalah.

Meskipun sudah bergelar juara liga, skuad Harimau Selatan masih menganggap baki empat lagi perlawanan sebagai penting dan pasukan itu perlu berada pada tahap terbaik untuk menamatkan saingan liga dan mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang saingan liga.

Beliau juga akan melakukan penggiliran pemain kerana selepas ini mereka akan berhadapan jadual yang padat ditambah juga dengan saingan Piala Malaysia yang bakal berlangsung selepas selesai saingan Liga ini.

“Buat JDT semua perlawanan adalah penting dan kami perlu bersedia untuk menghadapi baki empat perlawanan dan penggiliran pemain akan diadakan dengan semua pemain sudah memberikan komitmen yang baik dalam latihan sekali gus menyukarkan kami untuk memilih pemain yang terbaik kerana hanya 11 orang sahaja yang boleh beraksi,” katanya.

Bidoglio turut menjelaskan Fernando Forestieri mengalami sedikit kec3deraan dan diberi rehat dan akan bersedia sepenuhnya untuk perlawanan menentang Kedah pada Selasa ini.

sumber:-HM

“Kita akan tengok keadaannya dan jika dia bersedia untuk diturunkan sudah pasti saya mahu barisan pemain terbaik apabila menentang Kedah,” kata Bidoglio.