sukan

Aidil dedah punca kekalahan KDA FC

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC menganggap sepakan penalti ‘kontroversi’ yang diperoleh Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi faktor skuad kendaliannya tewas 1-3 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Menurutnya, sepakan penalti yang disempurnakan Leandro Velazquez pada minit ke-59 itu melemahkan moral pemain dan menjejaskan corak permainan pasukannya.

“Separuh masa pertama kami bermain seperti dirancang tapi penalti di babak kedua permainan telah mengubah keseluruhan permainan kerana ia melemahkan moral pasukan.

“Sepakan penalti itu sama ada betul atau tidak saya tak mahu komen, tapi ia memberi kesan kepada pasukan yang sedang bertembung dengan pasukan kuat,” katanya selepas perlawanan.

Dalam aksi berkenaan, skuad Kenari bermula baik apabila mendahului menerusi Ronald Ngah seawal minit ke-12.

Bagaimanapun, Bergson da Silva menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-36 sebelum peny3rang JDT itu kemudian dilayangkan kad merah kerana menumbuk Rodney Celvin pada hujung babak pertama.

Walaupun beraksi dengan 10 pemain, rentak JDT tidak terjejas apabila berada di depan menerusi Leandro Velazquez menerusi sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil, Hamdan Awang selepas Syafiq Ahmad dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pemain pertahanan Kedah, Azmeer Aris.

Harapan Kedah untuk bangkit bagaimanapun bertambah sukar apabila pemain tengah Afiq Fazail mudah merembat bola dalam kawasan penalti untuk gol ketiga JDT pada minit ke-78.

Bagaimanapun, Aidil Sharin mahu semua pemainnya tidak berputus asa atau menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya terus berusaha memperbaiki kelemahan untuk berhadapan beberapa lagi baki perlawanan dalam saingan Liga Super musim ini.

“Jadual perlawanan yang padat juga bukan alasan kerana segala persediaan sudah dilakukan dan pemain sedar lawan mereka (malam tadi) adalah pasukan besar dalam liga dan mereka sudah memberi tentangan,” katanya.

sumber:-BH

Kedah akan menentang Negeri Sembilan pada aksi ke-20 Jumaat ini.