sukan

Komen Aidil selepas kalah kepada 10 orang pemain

Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak kecewa selepas skuad Sang Kenari yang bermula baik tewas 1-3 kepada juara Liga Super musim 2022, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Beliau berkata, skuadnya bermula dengan momentum yang baik selepas mendahului menerusi jaringan Ronald Ngah seawal minit ke-12 sebelum mula hilang rentak selepas ketinggalan di babak kedua bermula dengan gol hasil dari sepakan penalti pihak lawan.

“Kami menunjukkan perancangan yang baik pada babak pertama selepas mendahului JDT, tetapi perancangan kami mula terkesan selepas mula ketinggalan di awal babak kedua meskipun hanya bersepan 10 pemain lawan.

“Saya rasa jika kami tidak dibolosi melalui penalti pada babak kedua, keadaan mungkin akan berlainan kerana kami berada dalam momentum yang baik ketika itu.

“Apa yg saya rancangkan adalah untuk mengekalkan keadaan hingga ke tempoh 65 minit dan mahu lakukan perubahan pada corak s3rangan di babak kedua, dan kemudian kami terus tertekan dengan kesilapan dalam kotak penalti untuk bolos mudah pada gol ketiga,” katanya.

Jelas Aidil lagi, agak sukar untuk pemainnya kembali bangkit selepas ketinggalan dua gol kepada JDT yang dapat menguasai perlawanan dengan seimbang ketika itu.

“Inilah perkara yang saya nyatakan bila kita berdepan JDT, dan bila kita ketinggalan, memang agak sukar untuk kembali bangkit namun saya tetap memuji sikap usaha dan kerja keras yang ditunjukkan oleh semua pemain.

“Kami perlu menerima kekalahan ini kepada pasukan yang lebih baik pada perlawanan ini dan pemain akan mencuba bangkit pada perlawanan seterusnya,”katanya.

sumber:-HM

Kedah akan meneruskan jadual perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat ini.