Mutu bola sepak negara bakal meningkat dalam tempoh jangka masa panjang selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Qatar (QFA) merancang untuk bekerjasama.
Qatar yang bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia buat pertama kali pada bulan depan dianggap kuasa baharu bola sepak Asia ketika ini selepas Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi dan Iran.
Kejayaan menjulang Piala Asia pada 2019 lalu adalah bukti bahawa Qatar kini jaguh Asia yang perlu diberi perhatian.
Menerusi pertemuan antara Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Presiden QFA, Sheikh Hamad bin Khalifa bin Ahmed Al Thani di Doha semalam, memungkinkan jalinan kerjasama lebih erat dapat dinoktahkan oleh kedua-dua pihak.
Jelas Hamidin, beliau menerima undangan kunjungan hormat ke QFA dan melihat potensi untuk memajukan bola sepak negara bersama negara Asia Barat itu.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden QFA yang meluangkan masa beliau untuk membincangkan kemungkinan kerjasama bola sepak dua hala antara Malaysia dan Qatar.
“Saya yakin ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dalam jangka masa panjang,” kata Hamidin.
Turut hadir, Naib Presiden QFA, Saud Abdulaziz Al-Mohannadi dan Setiausaha Agung, Mansour Al-Ansari.
sumber:-HM
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak berkongsi pandangan dalam isu kepentingan bersama dan potensi kerjasama membangunkannya demi manfaat positif bola sepak Malaysia dan Qatar.