Kejayaan Kuala Lumpur (KL) City mara ke final Piala AFC menjadi satu lagi bukti bahawa Bojan Hodak memiliki sentuhan ajaib dalam memasang jerat untuk memerangkap lawan.
Hanya tampil dengan status pasukan kerdil yang berbelanja kecil, justeru pencapaian melangkah ke pentas akhir dalam kejohanan peringkat Asia adalah satu kejayaan luar biasa bagi City Boys.
Lebih utama ia menjadi satu lagi sejarah besar dicipta KL City di bawah ‘pemerintahan’ Hodak selepas menamatkan penantian 32 tahun skuad itu untuk menjulang Piala Malaysia pada tahun lalu.
Selepas pelbagai kejutan berjaya dilakukan, kisah dongeng pasukan kerdil, KL City untuk menjulang Piala AFC buat kali pertama mungkin boleh menjadi kenyataan dan kini tiada siapa yang berani memperkecilkan keupayaan anak buah Hodak.
Bagi Hodak, disiplin tinggi yang dipamerkan barisan pemainnya di atas padang menjadi penyumbang kepada keberkesanan percaturan dan meraih kejayaan sepanjang perlawanan di pentas Piala AFC.
“Sebelum perlawanan saya katakan bahawa kelab dan bola sepak Uzbekistan berada di tahap tinggi Asia berbanding Malaysia, saya jangka mereka akan dominasi permainan terutama apabila beraksi di tempat sendiri.
“Kami berjaya menyekat gerakan serangan mereka dan menunggu untuk melakukan serangan balas. Pemain melakukan tugas dengan baik sepanjang permainan.
“KL City pasukan kerdil dengan bajet yang kecil, tetapi pencapaian ini kejayaan luar biasa buat bola sepak Malaysia. Kami akan berjuang hingga penamat kerana itulah impian kami,” katanya.
KL City mara ke final selepas menewaskan kelab Uzbekistan, PFC Sogdiana 5-3 menerusi penentuan penalti selepas terikat tanpa jaringan sehingga masa tambahan pada aksi final antara zon di Stadium Kompleks Sukan Sogdiana, semalam.
Kejayaan itu menyaksikan City Boys kini selangkah untuk menyamai rekod Johor Darul Ta’zim (JDT) memenangi Piala AFC pada 2015.
sumber:-BH
Anak buah Hodak bagaimanapun perlu mengatasi kelab kelab Oman, Al-Seeb di pentas final yang dijadualkan akan berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 22 Oktober ini.