sukan

Dollah mahu lebur rekod tanpa kalah JDT

Sri Pahang FC akan berusaha memberikan tentangan sengit apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Menyedari skuad Harimau Selatan itu berada pada prestasi terbaik, skuad Tok Gajah mahu menyekat lawan daripada membawa pulang mata. Bagi pengendalinya, Datuk Dollah Salleh, fokus utama skuad itu ialah untuk mengutip mata di halaman sendiri.

“Memang JDT dilihat mempunyai kelebihan tetapi Sri Pahang yang beraksi di halaman sendiri mahu memanfaatkan kelebihan itu untuk memperoleh mata.

“Pada masa sama, JDT sudah pasti mahu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super musim ini.

“Oleh itu, semua pemain perlu mengekalkan displin dan memanfaatkan segala peluang yang ada untuk memastikan lawan tidak membawa pulang mata,” katanya.

Pada perlawanan malam esok, Dollah mengesahkan pemain tengah kebangsaan, Nor Azam Azih yang digantung satu perlawanan kembali berada dalam senarai berdepan JDT.

Katanya, sekembalinya Nor Azam amat dinantikan dalam memperkasakan jentera tengah terutama berdepan skuad Harimau Selatan itu.

“Bagaimanapun, saya tidak dapat mempertaruhkan penyerang berpengalaman, Abdul Malik Mat Ariff yang masih belum pulih daripada kecederaan paha kiri.

“Tetapi saya percaya barisan pemain sudah cukup bersedia untuk mencabar JDT terutama memastikan Sri Pahang tidak kehilangan mata di halaman sendiri,” katanya.

Selepas mengharungi 19 perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan ketujuh liga dengan mengutip 24 mata manakala JDT yang mengutip 49 mata sudah bergelar juara Liga Super musim ini.

sumber:-HM
Pada perlawanan pusingan pertama liga musim ini, Sri Pahang berjaya mengikat JDT 2-2 di Stadium Sultan Ibrahim pada 18 Mei lalu.