sukan

Nasib Melaka United akan diketahui

Masa depan Melaka United dalam saingan Liga Malaysia akan diketahui selewat-lewatnya pada 12 Oktober ini.

Semalam, Nadi Arena melaporkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Justin Lim, sedang mempertimbangkan untuk menjual pegangan sahamnya dalam kelab itu.

Sebelum ini, skuad Hang Tuah itu turut dilarang daripada menyertai saingan Piala Malaysia gara-gara kegagalan menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam, berkata nasib kelab itu akan diketahui menjelang persidangan pelesenan kelab bagi musim 2023 pada 12 Oktober ini.

“30 September merupakan tarikh akhir bagi penyerahan dokumen untuk pelesenan kelab bagi musim 2023,” kata Stuart kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

“First Instance Body (FIB) dan Jawatankuasa Pelesenan akan bersidang pada 11 dan 12 Oktober ini.

“Sejumlah 396 dokumentasi adalah penyerahan setiap kelab, jadi dalam jangka masa dari 30 September sehingga 11 Oktober, ia adalah kerja sekretariat dan pengurusan untuk memeriksa semua dokumen untuk dibawa ke mesyuarat tersebut bagi badan bebas, FIB, membuat keputusan pelesenan kelab.

sumber:-SA

“Kita faham Melaka United kini masih ada masalah tunggakan gaji dan mungkin ia akan menjejaskan peluang mereka untuk mendapatkan lesen.

“Tetapi itu keputusan FIB dan bukannya keputusan MFL,” katanya.