sukan

Ranking Malaysia semakin melonjak naik

Ranking skuad Harimau Malaya naik dua anak tangga daripada kedudukan 148 kepada 146 dunia ketika ini.

Pengesahan itu dikeluarkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) menerusi kemaskini terbaharu daripada badan induk bola sepak dunia itu.

“Kemas kini terbaharu ranking Fifa hari ini, Malaysia di tangga 146 dunia, berjaya naik dua anak tangga berbanding 148 pada kemas kini terdahulu, 25 Ogos 2022. Kemas kini seterusnya 22 Disember 2022,” kata kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Peningkatan dua anak tangga itu didorong oleh kejayaan skuad kendalian Kim Pan-gon mengikat Thailand dan Tajikistan dalam dua aksi jemputan Piala Raja Thai di Chiang Mai, pada bulan lalu.

Dalam aksi yang diiktiraf sebagai perlawanan Tier 1 itu, Malaysia terikat 1-1 dengan Thailand sebelum menang menerusi penentuan penalti 5-3 untuk mara ke final.

Di pentas akhir, skuad negara sekali lagi diikat dengan tanpa jaringan namun kali ini tuah tidak memihak pasukan apabila tumbang di penentuan penalti 0-3.

sumber:- HM

Selepas ini, skuad negara akan menyertai Piala AFF hujung Disember ini sebelum membuat persiapan untuk beraksi di Piala Asia pertengahan tahun depan.