sukan

TFC tidak akan bagi peluang kepada MU

Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengingatkan pemainnya agar tidak mengambil mudah pertemuan dengan Melaka United FC (MUFC) bagi mengelak ‘dijerat’ dalam aksi ke-20 saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam esok.

Sebaliknya jurulatih muda meningkat naik itu menuntut anak buahnya meningkatkan lagi prestasi dan beraksi konsisten sepanjang 90 minit dalam misi membawa pulang tiga mata bagi mengukuhkan kedudukan di kelompok tiga teratas liga.

Jurulatih berusia 44 tahun itu juga mengingatkan anak buahnya agar tidak menjadikan rekod pertemuan terdahulu dengan skuad Hang Tuah sebagai jaminan untuk menundukkan skuad itu kerana setiap perlawanan adalah berbeza lebih-lebih lagi beraksi di tempat lawan.

“Walaupun pada aksi pusingan pertama kita berjaya menewaskan pasukan itu, tapi pertemuan malam esok tidak menjamin kemenangan kita, ianya bergantung kepada diri pemain itu sendiri sepanjang aksi 90 minit.

“Tapi saya ingatkan pemain agar fokus sehingga minit terakhir perlawanan tanpa melakukan kesilapan selain berusaha keras untuk membvru jaringan awal bagi menyuntik semangat mereka.

“Saya percaya jika mereka bermain mengikut perancangan baik, pasti keputusannya juga akan baik kerana misi kita mahu mengutip tiga mata untuk kekal menghuni dalam kelompok tiga pasukan terbaik liga,” katanya.

Ketika ditanya kemungkinan penyerang utamanya, Kpah Sherman bakal diturunkan ataupun terus direhatkan, jurulatih kelahiran Kelantan itu belum lagi membuat keputusan muktamad.

“Kita akan lihat prestasi dan tahap kecergasan semua pemain terlebih dahulu, lagipun saya mempunyai pilihan kerana semua pemain bebas daripada kec3deraan dan penggantungan, jadi kita lihat macam mana sama ada Sherman diturunkan atau sebaliknya,” katanya.

sumber:-BH

Pada aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, skuad Penyu yang kini menghuni di tangga ketiga liga, membelasah skuad Hang Tuah 5-0.