sukan

FAM akhirnya jawab ‘sindiran’ Sanusi

Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendapati pengadil, Hamdan Awang melakukan tindakan tepat walaupun beberapa keputusannya ketika aksi antara Kedah Darul Aman (KDA) dan Johor Darul Ta’zim (JDT), Selasa lalu dipertikai sesetengah pihak.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman menjelaskan jawatankuasa berkenaan sudah membuat penelitian dan berbincang mengenai beberapa insid3n penting dalam perlawanan terbabit selepas menerima laporan penuh daripada Penilai Pengadil.

Beliau berkata, Penilai Pengadil sudah menghantar laporan dan menyatakan bahawa keputusan yang dibuat oleh pengadil pada perlawanan itu adalah betul dan tepat serta tiada sebarang isu atau kesilapan yang dilakukan.

Katanya, laporan itu juga diteliti bersama oleh Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM yang turut sependapat bahawa keputusan tiada kesilapan dalam keputusan yang dibuat Hamdan.

Pertamanya, mengenai dakwaan bahawa pemain JDT, Bergson Da Silva berkedudukan ofsaid ketika menjaringkan gol pertama JDT pada minit ke-36, ia memang tidak ofsaid kerana semasa bola disepak (hantaran dibuat), pemain itu tidak berada dalam kedudukan ofsaid.

Berdasarkan Undang-undang 11 iaitu berkaitan ofsaid, kedudukan sama ada pemain itu ofsaid atau tidak adalah diambil kira ketika bola dimainkan (hantaran dibuat), bukannya semasa pemain menerima bola.

“Keduanya, mengenai sepakan penalti yang diberikan kepada JDT pada minit ke-57, ia memang keputusan yang tepat kerana berlaku tolakan oleh pemain Kedah Darul Aman ke atas pemain JDT mengikut Undang-undang 12,” kata Noor Azman.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam hantaran di Facebook miliknya seakan mempertikai keputusan pengadil dengan mendakwa ofsaid dan penalti boleh dibeli di kedai tepi jalan di Kelana Jaya.

Dalam pada itu, Noor Azman turut memaklumkan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada KDA setakat hari ini, jika terdapat sebarang pertikaian terhadap mana-mana keputusan pengadil bagi perlawanan itu.

sumber:- BH

“Biarpun tidak menerima sebarang aduan rasmi, kami tetap bertindak secara proaktif untuk meneliti laporan daripada Penilai Pengadil menerusi Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM bagi memastikan sama ada keputusan dibuat oleh pengadil itu adalah tepat atau sebaliknya, sebelum sebarang tindakan lanjut dibuat,” katanya.