sukan

Cheng Hoe sekali lagi hadiah kemenangan untuk Selangor

Selangor FC terus meraih keputusan positif di bawah kendalian pengendali baharu Tan Cheng Hoe apabila membenam PJ City 1-0 pada perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ), sebentar tadi.

Jelas sekali Selangor tampil lebih meyakinkan apabila menguasai hampir keseluruhan permainan dengan sering melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan.

Malah, pada separuh masa pertama, skuad Gergasi Merah hampir mendahului perlawanan seawal minit ke-10 namun penyudah tumpul memberi kelegaan kepada tuan rumah.

Rentak permainan kedua-dua pasukan terganggu berikutan cuaca hujan sekali gus babak pertama berkesudahan tanpa sebarang jaringan. Memasuki separuh masa kedua, Cheng Hoe melakukan tukaran pemain untuk menguatkan jentera serangan pasukan pelawat.

Percaturan terbabit ternyata berbaloi apabila pemain gantian Ahmad Danial Ahmad Asri mudah menanduk masuk gol tunggal perlawanan ketika saingan berbaki 10 minit untuk kedudukan 1-0.

sumber:- HM

Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Cheng Hoe meneruskan rekod cemerlang dengan meraih kemenangan kedua sejak mengambil alih Selangor FC.