sukan

Hector Bidoglio tidak sangka hanya kutip satu mata

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio tidak menjangkakan skuadnya akan mencatat keputusan seri 0-0 berdepan Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Beliau berkata, ini kerana skuad Harimau Selatan itu bertandang ke tempat lawan dengan misi membawa pulang tiga mata.

“Saya tidak jangkakan kami akan mengutip satu mata berdepan Sri Pahang ketika beberapa peluang dimiliki untuk menjaringkan gol,” katanya.

Pada perlawanan itu, JDT dan Sri Pahang terpaksa memulakan perlawanan pada jam 10.35 malam akibat hujan lebat.

Keadaan padang becak jelas mengganggu perancangan apabila kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol dan berpuas hati dengan mengutip satu mata.

Hanya dua percubaan berbahaya berjaya dilakukan skuad Harimau Selatan menerusi Fernando Martin pada minit ke-26 dan 51.

Namun, ia digagalkan jentera pertahanan sekali gus Harimau Selatan terpaksa akur dengan membawa pulang satu mata.

Mengulas perubahan senarai kesebelasan utama, beliau berkata, ia dilakukan untuk memastikan pemain berada pada prestasi terbaik termasuk mengelakkan kecederaan.

sumber:-HM

“Pada masa sama, masih ada baki dua perlawanan selepas ini dan diharapkan pemain mengekalkan prestasi,” katanya.