Datuk Dollah Salleh tidak menjangkakan aksi perlawanan Sri Pahang FC dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi, akan diteruskan selepas tertangguh 95 minit.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, berdasarkan keadaan hujan dan padang, biasanya perlawanan akan ditunda pada keesokan hari.
“Pada masa sama, saya dimaklumkan aksi Negeri Sembilan FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC ditunda.
“Ketika itu saya sudah fikir macam-macam tetapi ada baiknya perlawanan diteruskan kerana jika ditunda, banyak perkara yang perlu dilakukan dan akan menjejaskan perlawanan pada 11 Oktober ini.
“Jika beraksi esok (hari ini), kemungkinan besar akan hujan juga dan akhirnya pengadil dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memutuskan perlawanan diteruskan,” kata Dollah.
Pada perlawanan itu, Sri Pahang dan JDT hanya memulakan perlawanan pada jam 10.35 malam akibat hujan lebat.
Keadaan padang becak menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan dan masing-masing berpuas hati dengan mengutip satu mata selepas mencatat keputusan seri 0-0.
Mengulas keputusan seri itu, Dollah bersyukur skuad kendaliannya itu berjaya mengikat skuad Harimau Selatan.
“Jika diikutkan kepada keseluruhan perlawanan, JDT jelas menguasai perlawanan ketika pemain saya hilang tumpuan.
sumber:-BH
“Namun, saya tetap bersyukur kerana satu mata berjaya dikutip pada perlawanan ini terutama berdepan JDT,” katanya.