Soal sama ada Sabah FC berjaya mengekalkan kedudukan di tangga kedua carta Liga Super untuk muncul naib juara musim ini atau sebaliknya, hanya akan ditentukan menerusi dua lagi perlawanan di gelanggang lawan.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, berkata meskipun pasukannya berjaya mengutip mata penuh selepas membelasah Pulau Pinang 4-1 di Stadium Likas, malam tadi, ia belum dapat menjadi penentu untuk skuad Sang Badak itu meraih gelaran naib juara.
Katanya, perlawanan menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur Selasa ini sangat penting sebelum Sabah FC bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim untuk berdepan dengan juara Liga Super 2022, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 15 Oktober ini.
“Itu matlamat kita (menjadi naib juara) tetapi kita masih lagi mempunyai dua perlawanan. Saya percaya kedudukan kita hanya ditentukan pada perlawanan terakhir kita (bertemu JDT).
“Tetapi kita perlu fokus pada perlawanan akan datang dengan pasukan Pahang di mana itu lebih penting untuk kita sebelum memikirkan perlawanan terakhir,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Pulau Pinang FC, malam tadi.
Dengan kemenangan ke atas Pulau Pinang malam tadi, Sabah FC berjaya menambah tiga mata untuk mengumpul 39 mata dan berada di tangga kedua carta liga. Namun kedudukan itu diekori rapat Terengganu FC (TFC) dengan 38 mata selepas menewaskan Melaka United FC 4-2 malam tadi.
Kim Swee berkata, walaupun sedar Sabah bakal berdepan laluan sukar menentang Pahang dan JDT, beliau tetap meletakkan harapan dan kepercayaan tinggi kepada anak buahnya untuk mempamerkan aksi berkualiti.
“Mereka (pemain Sabah FC) harus lebih berdisiplin. Selepas ini kita akan bermain di tempat lawan dan kita pasti tidak akan dapat laluan mudah kerana kita tahu pasukan Pahang pun kebelakangan ini bangkit selepas (Datuk) Dollah Salleh mengambil alih.
“Jadi penting untuk kita mengekalkan momentum dan teruskan rentak kemenangan untuk kita memastikan Sabah FC berada dalam kelompok terbaik,” katanya.
Sementara itu, mengulas aksi malam tadi, Kim Swee menyifatkan ia bukan satu perlawanan yang mudah kerana Pulau Pinang bermain dengan corak taktikal yang baik walaupun dengan hanya 10 pemain.
Pulau Pinang kehilangan seorang pemain selepas tonggak importnya Rafael Vitor dilayangkan kad merah pada minit ke-42 kerana menjatuhkan pemain Sabah, Saddil Ramdani.
Namun, Kim Swee mengakui keputusan malam tadi sangat penting selepas Sabah FC gagal memperolehi sebarang kemenangan dalam empat perlawanan terakhir sebelum ini.
Dalam pada itu, pengendali Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Hassan, tetap memuji semangat juang ditunjukkan anak buahnya yang disifatkannya memberikan yang terbaik sepanjang 90 minit perlawanan.
“Cuma apa yang menjadi masalah ialah kita terpaksa bermain dengan 10 pemain bermula dari minit akhir separuh masa pertama. Saya lihat itu satu kecac@tan dan kita faham bukan mudah bermain dalam keadaan kekurangan pemain di Sabah.
sumber:-BH
“Mereka menunjukkan semangat juang yang baik hingga berjaya menyamakan kedudukan tetapi mula lemah dan putus asa apabila Sabah menjaring gol kedua selepas itu,” katanya.