sukan

Sedia korbankan Deepavali kali kelima

Sudah empat tahun pemain beregu wanita kebangsaan M Thinaah tidak berkesempatan menyambut Deepavali bersama keluarga.

Namun, tahun ini situasi mungkin berbeza dan Thinaah mungkin dapat meraikan perayaan itu di Klang, Selangor dengan keluarga tersayang.

Hal itu berikutan pasangannya Pearly Tan masih belum pulih daripada kecederaan hamstring yang dialami pada Terbuka Jepun bulan lepas, justeru menyebabkan status beregu wanita nombor satu negara itu untuk beraksi dalam dua kejohanan Eropah iaitu Terbuka Denmark pada 18-23 Okt ini dan Terbuka Perancis (25-30 Okt) masih dalam keraguan.

“Saya rasa kali terakhir saya menyambut Deepavali (bersama keluarga) ialah pada 2018, itu pun beberapa hari lebih awal sebelum hari perayaan, sebelum saya bertolak untuk pergi bertanding dalam kejohanan.

“Memang sedih (tidak dapat merayakan Deepavali) kerana biasanya bertembung dengan beberapa kejohanan Eropah, apa yang boleh saya lakukan ialah membuat panggilan video dengan keluarga apabila berjauhan semasa Deepavali,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, hari ini.

Deepavali akan disambut penganut agama Hindu pada 24 Okt ini.

Bagaimanapun, Thinaah berkata sama ada mereka akan bermain atau tidak pada kedua-dua kejohanan itu bergantung kepada penilaian jurulatih yang dijangka selesai minggu ini.

‘Kalau dapat bermain dalam Terbuka Denmark, tentulah saya mahu bermain. Keluarga mesti rasa sedih namun mereka memahami ini adalah pengorbanan yang perlu saya lakukan,” katanya.

sumber:-HM

Pemain berusia 24 tahun itu juga berkata beliau kagum dengan kesungguhan Pearly menangani kecederaannya.