sukan

Komen Aidil selepas kekalahan berturut-turut

Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak bersikap positif biarpun skuad kendaliannya tewas tipis kepada Negeri Sembilan FC (NSFC), 3-4 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

Baginya, nasib ternyata tidak menyebelahi skuad Helang Merah untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata selepas pemainnya berjaya mencipta banyak peluang jaringan namun tidak tepat ke sasaran.

“Biarpun pada sebahagian separuh masa kedua kita ketinggalan 1-4, tapi pemain saya tidak berputus asa dan berjaya merapatkan jurang menerusi dua gol pada penghujung babak.

“Kesungguhan mereka wajar dipuji, apapun saya puas hati dengan komitmen diberikan pemain sepanjang tempoh perlawanan malam ini apabila pemain dilihat tidak berputus untuk mendapatkan gol.

“Kita hampir mencatatkan keputusan yang positif,” katanya selepas perlawanan malam tadi.

Dalam perlawanan itu, kemenangan Negeri Sembilan diraih menerusi dua gol oleh Gustavo Dos Santos dan masing-masing satu oleh Matheus Alves serta Sean Eugene Selvaraj.

Tiga gol Kedah pula dijaringkan masing-masing oleh Mahmoud Nayef Ahmad, Sanrawat Dechmitr dan Marcos Vales Gonzales.

Aidil Sharin akui beberapa kesilapan dilakukan anak buahnya membolehkan barisan penyerang Negeri Sembilan mudah mengambil kesempatan menjaringkan gol.

Beliau juga sedar menentang Negeri Sembilan bukan suatu tugas mudah apa lagi dengan keadaan padang yang lembab.

“Kita akan perbaiki apa juga kelemahan dalam pasukan sebagai persiapan menghadapi baki dua perlawanan sebelum mengakhiri tirai saingan musim ini,” katanya.

sumber:-HM

Pertembungan antara kedua-dua pasukan berkenaan sepatutnya berlangsung pada Sabtu tetapi ditunda susulan keadaan padang ditakungi air selepas hujan sepanjang hari.