Sri Pahang FC kekal fokus pada baki dua perlawanan untuk menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan terbaik.
Justeru, pengendali Tok Gajah, Datuk Dollah Salleh mahu skuad itu mencatat kemenangan apabila berdepan Sabah FC, Selasa ini dan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada 15 Oktober ini.
“Sekurang-kurangnya enam mata akan dikutip pada baki dua perlawanan liga musim ini untuk menentukan kedudukan terbaik.
“Kita memang ada perancangan sebaik melihat kepada undian Piala Malaysia kerana mahu berada di tempat lebih baik.
“Ketika ini, keputusan muktamad hanya akan diketahui pada baki dua perlawanan terakhir dan sudah pasti Sri Pahang mahu sekurang-kurangnya berada di kedudukan keenam.
“Pada masa sama, kita mahu mengelak bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pusingan awal,” kata Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan.
Pada undian Piala Malaysia, pasukan Liga Super yang menamatkan saingan di kedudukan kesembilan akan berdepan skuad Harimau Selatan.
Selepas mengharungi 20 perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan kelapan dan perlu memanfaatkan kelebihan beraksi dua perlawanan di halaman sendiri untuk memperbaiki kedudukan lebih baik.
Ini kerana peluang untuk menamatkan kedudukan antara kelima dan keenam masih terbuka antara Kuala Lumpur City FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Selangor FC.
Justeru, Dollah mahu anak buahnya tidak mempersia-siakan kelebihan beraksi di tempat sendiri dengan mengutip enam mata.
“Berdepan Sabah dan NSFC akan menentukan kedudukan dalam saingan liga dan diharapkan Sri Pahang tidak kehilangan mata,” katanya.