sukan

Luahan Diakite tindakan penyokong Melaka United

Pertahanan import Terengganu FC (TFC), Pape Diakite meluahkan nada terkilan selepas dia digelar ‘Negro bodo’ oleh segelintir penyokong Melaka United FC (MUFC) ketika pasukannya menentang skuad itu pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Jumaat lalu.

Dalam aksi berkesudahan skuad Penyu melakar kemenangan 4-2 hasil hatrik Kipre Tchetche dan satu lagi menerusi Mohd Faisal Halim, pemain beragama Islam kelahiran Senegal itu mendakwa gelaran itu tidak sepatutnya berlaku kerana melalui sukan ianya mampu membentuk penyatuan.

Berkongsi nada kecewa yang dimuat naik dalam akaun Twitternya (@Diakite_44) semalam, pemain berusia 30 tahun itu menjelaskan, sebagai muslim, kata-kata sedemikian begitu memalukan ketika bola sepak negara semakin meningkat.

Justeru pemain yang baharu musim pertama beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) meletakkan harapan tinggi agar perkara sama tidak lagi berulang selepas ini selain berdoa agar mereka yang menghina itu mendapat hidayah suatu hari nanti.

“Ada segelintir penyokong Melaka memanggil kami N3gro bodo yang bermaksud hitam bodoh, tapi kami bangga dilahirkan hitam sehingga kami mati.

“Namun sebagai seorang muslim, kata-kata sebegini amat memalukan. Semoga suatu hari nanti mereka (penyokong berkenaan) akan lebih memahami erti kehidupan,” tulisnya dalam akaun Twitternya (@Diakite_44) dengan tanda #Alhamdulillah# D44.

Pertahanan kental yang memakai jersi nombor 44 itu beraksi cemerlang sepanjang musim ini termasuk merekod satu jaringan ketika menentang Sabah FC minggu lalu.

sumber:-HM

Pemain berketinggian 1.93 meter itu juga antara tonggak kesayangan peminat setia skuad Penyu yang mengharapkan pemain tinggi lampai itu dikekalkan musim depan.