sukan

Yakin ke pentas AFC

Pertahanan Negeri Sembilan FC, Khuzaimi Piee, yakin peluang skuad Jang itu untuk berada di pentas Piala AFC musim depan masih terbuka selepas meraih tiga mata penting dengan menewaskan Kedah Darul Aman FC 4-3 dalam perlawanan Liga Super di Paroi semalam.

Negeri Sembilan kini berada di tangga keempat liga dengan mengumpulkan mata yang sama dengan pasukan di tangga ketiga, Terengganu FC, dengan 28 mata dan hanya di ketinggalan satu mata di belakang pasukan di tangga kedua, Sabah FC.

Berbaki dua perlawanan musim ini, saingan merebut kelompok tiga teratas kian sengit, di mana hanya tiga pasukan terbaik akan layak ke pentas Asia musim depan sambil Johor Darul Ta’zim (JDT), yang sudah pun mengesahkan kejuaraan lebih awal, akan kekal di tangga teratas untuk ke Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Justeru, aksi menentang Melaka United di Paroi pada Selasa ini dan kunjungan ke laman Sri Pahang pada hujung minggu depan akan mejadi perlawanan paling penting buat pasukan bimbingan K. Devan itu.

“Bagi kami, dengan berbaki dua perlawanan musim ini, dengan kedudukan mata yang tidak begitu jauh dengan Sabah dan Terengganu, apa yang boleh kami lakukan adalah dengan menyasarkan kedudukan dua terbaik,” kata Khuzaimi kepada wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom.

sumber:-SA

“Kami tidak boleh melepaskan peluang untuk mendapatkan tiga mata di laman sendiri dan kemudian, kami akan bertemu Sri Pahang di tempat lawan, jadi kami akan mencuba juga untuk mendapatkan mata penuh bagi menamatkan liga di kedudukan yang lebih baik,” katanya.