sukan

Reaksi Presiden Kelab penyokong TFC isu ‘Negro bodo’

Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu berharap peristiwa pertahanan pasukan Terengganu FC (TFC), Pape Diakite dihina oleh segelintir penyokong Melaka United FC (MUFC) tidak lagi berulang selepas ini.

Presidennya, Mohd Isa Che Ariffin yang akui terkejut selain melahirkan nada terkilan dengan gelaran ‘Negro bodo’ yang dilemparkan kepada pemain beragama Islam kelahiran Senegal itu, menuntut peminat setia lebih berdisiplin ketika menyokong pasukan sama ada menang ataupun tewas.

Tambah beliau, kata-kata berkenaan tidak sepatutnya keluar daripada mulut peminat mana-mana pasukan lebih-lebih lagi mutu bola sepak negara sudah berada dalam era profesional.

Kami kelab penyokong Terengganu begitu terkilan dengan sikap segelintir penyokong MUFC yang menghina Diakite dengan perkataan “Negro bodo” pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, 7 Oktober lalu.

Hinaan itu tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi Diakite adalah seorang pemain import beragama Islam, daripada sudut agama pun kita ditegah untuk menghina bangsa lain walaupun individu itu bukan beragama Islam.

“Kami harap hinaan itu tidak lagi berulang pada masa akan datang kerana sukan mampu membentuk penyatuan dan bukannya permusuhan,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu Diakite meluahkan nada terkilan selepas dia digelar ‘Negro bodo’ oleh segelintir penyokong MUFC ketika pasukannya menumpaskan skuad Hang Tuah 4-2 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Jumaat minggu lalu.

Kecewa dengan gelaran itu, pertahanan kental itu memuat naik dalam akaun Twitternya (@Diakite_44) sehari selepas perlawanan itu.

Susulan hantaran yang dibuat Diakite itu kerana ianya membabitkan isu perkauman, MUFC tampil memohon maaf terhadap pertahanan import itu.

sumber:- HM

Bagaimanapun Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak akan ‘menutup buku’ isu rasis itu bagi memastikan perbuatan terbabit dapat dibendung dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air.