sukan

Tindakan akan diambil

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan dokumen sulit berkaitan urusan kelab itu dan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, terdapat unsur fitnah apabila dokumen yang juga surat potongan LHDN kepada kelab tersebar luas semalam.

“KDA FC merujuk satu ciapan oleh pemegang nama ciapan @zulhelmizainal1 dibuat pada hari Isnin, 10 Oktober 2022, pada jam 4.33 petang dan beliau dikenali umum sebagai seorang wartawan sukan.

“Menerusi ciapan beliau, satu salinan dokumen dengan kepala surat dari LHDN kepada KDA FC bertarikh 24 Ogos 2022 berkenaan Potongan Cukai Berjadual (PCB) 2021 hingga 2022 dan dokumen sulit yang diperolehi secara tidak sah.

“Ini telah memberi gambaran buruk kepada kelab seterusnya tanpa fakta menyeluruh berkenaan kandungan surat tersebut dengan hanya satu mukasurat dikongsi wartawan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Menerusi ciapan berkenaan juga, ia mengaitkan isu masalah dalaman membabitkan cukai LHDN itu dan kemerosotan prestasi KDA FC hingga menjejaskan pergerakan beberapa staf kejurulatihan dan pemain import ke luar negara.

Khamal berkata, surat itu sepatutnya hanya berada dalam milikan LHDN, KDA FC dan salinan kepada Malaysian Football League (MFL) sebagai makluman penjadualan pembayaran cukai yang tidak tertunggak kepada Badan Perlesenan MFL bagi memenuhi syarat perlesenan tahun hadapan.

“KDA FC menafikan sekeras-kerasnya ciapan beliau dan akan mengambil tindakan selaras undang-undang bagi membersihkan nama dan imej KDA FC dan satu notis tuntutan atas kenyataan fitnah akan diserahkan dalam masa terdekat.

“Pihak KDA FC sentiasa menjaga kebajikan pemain dan sentiasa bertanggungjawab atas semua tanggungan termasuklah pembayaran gaji dan cukai pendapatan.

“Penyebaran tanpa kebenaran ini adalah suatu bentuk pengkhianatan berniat jahat dan KDA FC akan membuat aduan kepada pihak LHDN dan Malaysian Football League (MFL) serta menjalankan siasatan dalaman bagi memastikan dokumen sulit tidak menjadi senjata musuh,” katanya.

sumber:-HM

Beliau berkata, pihaknya akan memantau semua media yang menggunakan sumber ciapan berkenaan sebagai tajuk berita dan kandungan laporan.