sukan

Paling penting adalah layak ke Piala AFC

Misi ke Asia kini adalah fokus utama pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain berbanding memikirkan soal lain termasuk tentang masa depannya atau kempen Piala Malaysia selepas ini.

Kata Nafuzi, beliau mahu melunaskan baki satu lagi aksi dengan mahu memastikan tiga mata penuh mampu dilakar sekaligus cuba mengintai kedudukan selaku naib juara Liga Super yang menawarkan tiket ke Piala AFC musim depan.

Ujarnya, skuad Penyu yang akan menentang Kedah Darul Aman FC di Alor Setar Sabtu ini wajib menang dan tidak perlu terlalu memikirkan dua lagi pencabar lain.

Berdasarkan kedudukan semasa, tiga pasukan iaitu Sabah FC, Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Terengganu berpeluang muncul naib juara di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT), dengan Sabah hanya berkelebihan satu mata untuk mengumpul 42 mata manakala NSFC dan Terengganu pula dengan 41 mata.

“Apa yang penting sekarang adalah mencapai sasaran musim ini untuk layak ke saingan Piala AFC. Lepas habis semua ini baru saya fikirkan masa depan saya, sekarang ini pasukan dan para pemain adalah lebih penting.

“Saya tidak kisah pun mana-mana diletakkan dalam Piala Malaysia, yang paling penting sasaran saya adalah layak ke Piala AFC.

“Bagi saya kalau kita layak ke Piala AFC ia adalah pencapaian dan kejayaan untuk pasukan Terengganu. Kita fokus ini dahulu daripada kita memikirkan perkara yang kita tidak ketahui lagi.

“Bagi saya, saya tidak bergantung kepada pasukan lain untuk tewas. Yang penting pasukan kita menang, itu paling penting,” katanya pada sidang media sejurus tamat aksi dengan Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini malam tadi.

Dalam aksi itu, skuad Penyu meraih kemenangan tipis 2-1 hasil jaringan Manuel Ott dan Kipre Tchetche pada babak pertama, sebelum KL City merapatkan kedudukan hasil tandukan Romel Morales di pertengahan separuh masa kedua.

“Kita bermain dalam keadaan tekanan sedikit. Bertemu dengan Kuala Lumpur, saya lihat mental pemain kuatlah malam ini. Kita dapat menyerap tekanan dari Kuala Lumpur dari awal minit.

sumber:-HM

“Saya rasa pada separuh masa pertama kita dapat mengawal. Selepas 2-1, kita bermain dalam tekanan namun kita berjaya mengutip tiga mata. Itu yang lebih penting,” kata Nafuzi mengulas mengenai aksi skuad kendaliannya.