sukan

Reaksi Aidil tewas teruk kepada JDT

Belum ada sebarang tawaran melanjutkan kontrak oleh pengurusan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk musim depan.

Itu pengesahan pengendali KDA FC, Aidil Shahrin Sahak mengenai nasibnya bersama Sang Kenari pada musim depan sama ada beliau akan kekal atau sebaliknya.

“Sehingga saat ini belum ada lagi tawaran untuk sambung kontrak bersama Kedah. Tapi saya bersikap profesional dan mungkin pengurusan kelab ada alasan mereka sendiri.

“Saya juga tidak tahu sama ada mereka sudah ada jurulatih baharu pada musim depan. Saya tidak tahu, apapun seperti yang saya katakan selagi masih bersama Kedah dan kontrak masih sah, maka saya sebagai seorang profesional akan bimbing pasukan itu sehingga tamat kontrak,” katanya.

Pada perlawanan menentang JDT, Aidil Shahrin yang membimbing KDA FC terpaksa menelan keperitan apabila tumpas 1-4 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Ia adalah kekalahan kali keempat berturut-turut buat Sang Kenari yang menyaksikan pasukan itu kini berada di tangga ketujuh liga malah kekalahan itu juga mengundang rasa kurang senang penyokong Hijau Kuning yang sudah mula `bersuara’ mengenai kredibiliti pengendali kelahiran Singapura itu.

Walaupun pada awalnya Sang Kenari mengundang cemas buat apabila Ronald Ngah Wanja menjaringkan pada minit ke-44 tapi jaringan itu tidak bertahan lama selepas Bergson Da Silva bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-49 dan disusuli gol minit ke-89 manakala pemain gantian Syafiq Ahmad turut meyumbang gol pada minit ke-63 dan minit 69.

Mengulas kekalahan kepada skuad kendalian Hector Bidogio pada perlawanan itu, Aidil mengakui agak sukar untuk memberi saingan terhadap skuad Harimau Selatan yang begitu gah apabila beraksi di laman sendiri.

Beliau berkata pada aksi babak pertama, barisan pemain Kedah mempamerkan aksi konsisten selepas berjaya mengekang asakan pemain JDT namun kec3deraan yang dialami pemain pertahanan, Marc Alves yang terpaksa dikeluarkan pada pertengahan babak pertama menjejaskan rentak permainan Kedah.

sumber:-HM

“Pada aksi babak kedua, saya sudah memberitahu kepada pemain supaya berwaspada dengan kebangkitan JDT selepas kita mendahului mereka pada babak pertama tapi kesilapan yang sering kali dilakukan ditambah pula JDT meraih sepakan penalti nyata beri tekanan buat pemain saya,” kata Aidil.