sukan

Hadiah buat penyokong setia KDA FC

Penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang pulang kecewa selepas gagal menyaksikan perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat lalu, berikutan ditunda akibat hujan, mendapat khabar gembira.

Ini kerana semua penyokong itu bakal menerima pas masuk percuma bagi menyaksikan perlawanan terakhir Liga Super apabila KDA FC melayan Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Aman, Sabtu ini, seperti dimaklumkan media KDA FC, hari ini.

“Demi menghargai pengorbanan penyokong Sang Kenari yang hadir di Paroi dari Kedah pada Jumaat lalu, pengurusan KDA FC dimaklumkan mereka tidak dapat menyaksikan perlawanan tertunda keesokan harinya (Sabtu) atas isu masa dan kos, pulang begitu sahaja ke bumi Jelapang Padi.

“KDA FC memutuskan untuk memberikan akses percuma buat penyokong terdiri daripada rombongan lima bas dan sebuah van itu bagi perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Darul Aman pada Sabtu ini.

“Tanpa sokongan penyokong sejati, terus menyokong tanpa syarat dan berkorban wang ringgit. Pihak pengurusan amat memahami kekecewaan mereka tidak dapat menyaksikan perlawanan tertunda Sabtu lalu,” katanya.

KDA FC memaklumkan pemberian tiket percuma kepada penyokong terbabit sebagai langkah prihatin kelab bagi mengubati kekecewaan mereka sebelum ini.

Ia seterusnya membangkitkan semangat mereka untuk memberi sokongan buat Sang Kenari pada perlawanan terakhir Liga Super di laman sendiri, Sabtu ini.

“Semoga isyarat diberikan pengurusan KDA FC ini dapat meniupkan semangat semua penyokong untuk hadir memenuhi Stadium Darul Aman, Sabtu ini,” katanya.

sumber:-HM

P3rlawanan KDA FC menentang NSFC di Paroi pada 7 Oktober lalu terpaksa ditangguh sehari kemudian ekoran hujan lebat dan air bertakung menyebabkan padang tidak sesuai digunakan.