sukan

Jurulatih berpengalaman pilih NSFC

Negeri Sembilan FC (NSFC) dianggap pilihan untuk muncul naib juara Liga Super musim ini berdasarkan kepada lawan bakal ditemui, berbanding dua lagi pencabar iaitu Sabah FC dan Terengganu FC (TFC).

Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Salim berkata, beliau memilih NSFC kerana pasukan itu dilihat berpeluang lebih cerah untuk memenangi aksi dengan Sri Pahang di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

Bagaimanapun, menurutnya, situasi lebih sukar terpaksa ditempuhi Sabah yang bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim untuk berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dalam misi mengekalkan rekod bersih tanpa kalah musim ini.

Selain itu, katanya, JDT mahu memastikan majlis penyampaian trofi Liga Super selepas aksi itu tidak tercemar dengan kekalahan di tangan Sabah.

Katanya, laluan berliku dijangka terpaksa dilalui TFC yang berkunjung ke gelanggang keramat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) iaitu Stadium Darul Aman.

“Saya menjangkakan skuad Hobin Jang Hobin bakal menggenggam tiga mata manakala dua lagi pasukan kemungkinan akan tercicir mata dalam aksi terakhir masing-masing, sekali gus tiket ke Piala AFC bakal menjadi milik NSFC pada musim depan.

“Ketiga-tiga perlawanan itu akan berlangsung di tempat lawan, jadi ia ibarat final bagi ketiga-tiga pasukan itu.

“Secara peribadi, saya lihat NSFC ada peluang lebih baik kerana Sabah dan Terengganu akan jumpa lawan yang kuat.

“JDT pula kita tahu akan cuba menang sebab mereka akan meraikan kejayaan selepas perlawanan di stadium, jadi takkan nak kalah pula. Kedah pula bila main depan penyokong mereka, pasukan itu selalunya menunjukkan aksi baik walaupun permainan mereka tidak konsisten ketika ini.

“Jadi saya anggap sedikit kelebihan buat NSFC dan slot ke ‘Asia’ bakal menghangatkan lagi perlawanan babitkan tiga pasukan itu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ketika ini, Sabah berada di tangga kedua di belakang JDT yang sudah dinobatkan selaku juara lebih awal dengan mengekalkan trofi buat kali kesembilan berturut-turut.

Begitupun, Sabah yang dibimbing bekas pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee mengumpul 42 mata, satu mata di depan TFC dan NSFC yang boleh memintas jika Sabah tewas atau seri, sementara dua pencabar terdekat itu pula menang.

Irfan Bakti yang pernah membimbing Terengganu, Selangor, Felda United dan banyak lagi pasukan berkata, dalam aksi itu nanti beliau yakin semua jurulatih akan sentiasa memantau perkembangan perlawanan di venue lain.

“Biasanya dalam situasi sebegitu, pengurus pasukan akan memegang telefon bimbit untuk memantau keputusan semasa perlawanan di tempat lain, dan jurulatih akan sentiasa bertanya untuk mengetahui.

sumber:-HM

“Ia agar memudahkan jurulatih menyusun strategi berdasarkan situasi ketika perlawanan, sama ketika mendahului atau ketinggalan. Jadi, telefon bimbit amat berharga ketika itu buat jurulatih,” katanya.