sukan

Percuma untuk penyokong Penang FC

Pengurusan Penang FC membenarkan penyokong memasuki Stadium Bandaraya secara percuma pada perlawanan terakhir Liga Super menentang Selangor FC, Sabtu ini.

Penang FC dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas bersetuju dengan cadangan Kelab Peminat Bola Sepak Pulau Pinang dalam usaha memberi penghargaan sewajarnya kepada semua penyokong Penang FC.

“Sebagai tanda terima kasih dan penghargaan terhadap sokongan berterusan sepanjang tempoh Liga Super 2022 dan Piala FA 2022, pihak pengurusan mempelawa penyokong hadir ke Stadium Bandaraya secara percuma pada 15 Oktober ini bagi menyaksikan perlawanan menentang Selangor FC,” katanya hari ini.

Pengurusan Penang FC turut memaklumkan pengendali Skuad Harimau Kumbang, Datuk Zainal Abidin Hassan tidak akan mengemudi pasukan tuan rumah pada aksi perlawanan ke-22 itu.

“Pihak Pengurusan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas kesudian beliau memberikan bantuan setulus hati kepada Penang FC ketika mengendalikan pasukan sepanjang Liga Super 2022 berlangsung,” katanya.

Sehubungan itu, Manzoor Azwira Abd Wahid diarahkan untuk mengendalikan Penang FC sepenuhnya pada perlawanan itu atas persetujuan Zainal Abidin, sekali gus memberi laluan kepada penolong jurulatih itu sebagai persiapan awal berdepan saingan Piala Malaysia 2022.

sumber:-HM

Pengurusan Penang FC berkata, arahan berkenaan turut diberikan sebagai sokongan ke atas Manzoor Azwira untuk melengkapkan Kursus Kejurulatihan Diploma Pro A pada 2023.