sukan

Tak banyak takpe janji berkualiti

“Kualiti lebih baik daripada kuantiti,” perkara itu ditegaskan pemerhati bola sepak tempatan, Profesor Madya Dr Zulakbal Abd Karim yang menyifatkan keputusan badan bebas, First Instance Body (FIB) untuk tidak meluluskan permohonan pasukan bermasalah bagi mendapatkan Lesen Kebangsaan wajar dipuji.

Berdasarkan pengumuman FIB semalam, permohonan dua kelab Liga Super, Sarawak United dan Melaka United FC ditolak kerana gagal memenuhi kriteria ditetapkan dalam Kitaran Peraturan Pelesenan Kelab MFL 2022, sekali gus tidak layak bertanding di pentas Liga Super 2023.

Zulakbal berkata, keputusan itu membuktikan ketegasan FIB dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam menangani isu kelab bermasalah yang mencetuskan kebimbangan ramai pihak mengenai sejauh mana kelancaran penstrukturan baharu Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Saya lihat tindakan ini memang wajar untuk diambil, sekali gus menunjukkan ketegasan FIB dan MFL sebab kalau kita biarkan, isu gaji dan sebagainya memang tidak akan habis bahkan akan menganiaya pemain.

Sudah tiba masanya dalam era profesional ini, tindakan tegas seperti ini perlu ada dalam liga sebab kita perlu tunjukkan kepada pasukan agar mereka lebih berdisiplin dan berupaya untuk bertanding.

“Saya lebih suka katakan kita perlu mengambil berat kualiti daripada kuantiti apabila hanya mereka yang betul-betul layak sahaja beraksi dan jika MFL tidak tegas, saya rasa tiada pasukan yang akan menghormati peraturan selepas ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa mengharapkan keputusan itu akan membuka mata banyak pihak untuk tidak lagi mengambil mudah aspek kewangan pasukan selepas ini.

Beliau berkata, apa yang lebih penting adalah bagaimana pasukan lain mengambil pengajaran untuk lebih bertanggungjawab dalam mencari dana bagi menjaga kelab dengan lebih baik.

“Apa yang berlaku memperlihatkan pengurusan dan modal pasukan dalam melaburkan sumber kewangan adalah satu risiko apabila bukan mudah untuk menguruskan kelab.

“Ini yang perlu dilihat oleh pasukan untuk mereka lebih berhati-hati dan lebih mengambil berat bagi mencari dana kewangan yang mencukupi.

“Jadi keputusan dibuat kepada mereka adalah tepat dan pasukan terbabit (Melaka United dan Sarawak United) perlu belajar sesuatu jika mereka ingin bangkit semula nanti,” kata Sadek.

Terdahulu, Melaka United gagal mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Ogos 2022 serta tidak menyerahkan dokumen berkaitan bagi memenuhi syarat sub kriteria kewangan F.04 dan F.11.

Manakala Sarawak United pula gagal memenuhi kriteria kewangan dan kesukanan serta mempunyai dua kes Fifa apabila keputusan sudah dibuat DRC Fifa terhadap bekas pemain iaitu Sandro Da Silva dan Taylor Regan.

sumber:- HM

Bagaimanapun dua pasukan terbabit diberi peluang untuk mengemukakan rayuan sebelum tarikh akhir pada 19 Oktober ini terhadap keputusan FIB itu.