sukan

Yakin dengan perancangan K Devan ke saingan AFC

Perlawanan penutup tirai saingan Liga Super musim ini menjadi penentu buat skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam misi mereka untuk mencipta kejayaan luar biasa dengan layak ke saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2023.

Meskipun peluang untuk mendapatkan slot itu akan bergantung kepada keputusan perlawanan membabitkan Sabah FC dan Terengganu FC (TFC), apabila kedua-dua pasukan itu turut mempunyai peluang yang sama, namun hakikatnya Negeri Sembilan mempunyai pakej untuk melakar kejayaan berkenaan.

Skuad bimbingan K Devan perlu menggunakan peluang terbaik dengan memastikan kemenangan dapat mereka capai ke atas Sri Pahang FC pada pertembungan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu ini.

Pemain pertahanan tengah pasukan itu, Khuzaimi Piee, bersikap positif terhadap kemampuan pasukannya untuk mencipta kejayaan luar biasa musim ini, dengan layak bersaing di pentas berprestij itu musim depan.

Menurutnya, biarpun bakal berhadapan tugas mencabar menentang Sri Pahang di tempat lawan, namun dia dan rakan sepasukan akan memberikan persembahan terbaik bagi mendapatkan kemenangan.

“Saya dan rakan semua akan cuba beri yang terbaik untuk perlawanan terakhir dengan Pahang ini untuk mendapatkan kemenangan.

“Ia ibarat perlawanan penentuan bagi menguji kemampuan dan pencapaian kami dalam Liga Super musim ini dan sudah tentu kami mahukan tiga mata.

“Dengan peluang untuk layak ke saingan Piala AFC musim depan yang masih terbuka, kami akan beraksi bermati-matian untuk membantu pasukan mencapai kemenangan,” katanya hari ini.

Khuzaimi, antara watak penting buat skuad Hobin Jang Hobin apabila dia sentiasa berupaya mempamerkan aksi cemerlang termasuk mampu melakukan hantaran tepat mencari rakan sepasukan dalam setiap perlawanan.

Pertahanan skuad Harimau Malaya berusia 28 tahun itu berkata, dia yakin dengan komitmen tinggi rakan-rakan dan perancangan Devan untuk pasukannya mendapatkan keputusan positif, Sabtu nanti.

sumber:-BH

Negeri Sembilan yang menduduki tangga keempat carta Liga Super, berkongsi 41 mata dengan TFC manakala Sabah di tangga kedua dengan 42 mata.